25 June 2008

Batal dakwat kekal, SPR dan MT main tarik tali

Batal dakwat: Kerajaan tidak bercadang kenakan Abdul Rashid tindakan

Kerajaan belum bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman atas kenyataannya yang beliau telah diarah oleh Kabinet supaya membatalkan rancangan penggunaan dakwat kekal beberapa hari sebelum pengundian dijalankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan menghormati SPR sebagai badan bebas dan jika ada percanggahan kerajaan akan menjelaskan apa yang berlaku dari sudut pandangan kerajaan.

"Namun begitu, kerajaan benar-benar berharap bahawa SPR akan menjauhi kenyataan yang mungkin mengelirukan demi kredibiliti institusi SPR dan kewibawaan proses demokrasi dan pilihan raya itu sendiri," kata beliau.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Lim mengemukakan soalan sama ada tindakan diambil ke atas Pengerusi SPR yang telah diarahkan oleh Kabinet untuk membatalkan celup jari empat hari sebelum hari pengundian, dan mendakwa Abdul Rashid bersama-sama Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah menipu rakyat bahawa sebab keselamatan memerlukan pembatalan penggunaan dakwat itu.

Pembatalan itu diumumkan lima hari sebelum hari pengundian 8 Mac lalu.

Pada 17 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa Kabinet hanya mencadangkan dan bukannya mengarahkan SPR membatalkan kaedah mencalit dakwat pada pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri berkata, ini kerana SPR selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap perjalanan pilihan raya berhak sama ada mahu menerima cadangan yang diberikan Kabinet atau tidak.

Pada hari yang sama, Abdul Rashid memberitahu, Kabinet yang tidak meluluskan penggunaan dakwat pada pilihan raya umum lalu walaupun SPR bersetuju dengan kaedah tersebut.

Menurut Abdul Rashid, Kabinet tidak meluluskannya atas dua alasan yang kukuh dan beliau bersetuju kerana ia melibatkan keselamatan dan satu lagi daripada segi undang-undang.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Mohamed Nazri berkata, Kabinet tidak pernah mengarahkan Pengerusi SPR untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum Mac lalu.

Kata beliau, walaupun jemaah menteri tidak menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal itu, namun mereka hanya meminta Abdul Rashid menimbangkan perkara itu dengan mengambil kira isu bahawa pelaksanaan itu mungkin bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini berbangkit di mesyuarat jemaah menteri dua minggu sebelum pembubaran Parlimen," katanya.

Jelas beliau, peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang pemilih berdaftar untuk mengundi tanpa syarat termasuk syarat mencalit jari dengan dakwat kekal.

"Hak untuk memilih tidak boleh dinafikan kepada pemilih yang tidak mahu mencalit jari mereka atau mereka yang telah dicalit jarinya, hak untuk mengundi hanya boleh dinafikan jika pemilih berdaftar hilang kelayakan untuk mengundi di bawah undang-undang," katanya.

Beliau berkata, SPR diberitahu oleh jemaah menteri mengenai isu itu dan SPR menjawab dengan cadangan bahawa mereka akan menyediakan borang sumpah di setiap tempat mengundi bagi mereka yang telah mengundi tetapi tidak mahu dicalit.

"Jemaah menteri telah menjawab balik bahawa cadangan ini tidak akan dapat mengelak daripada pengundian dua kali, namun keputusan sama ada untuk meneruskan penggunaan dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR sebagai autoriti yang kompeten dan bebas," katanya.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment