29 June 2008

Anwar berlindung di Kedutaan Turki

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Naib Presiden Azmin Ali mendedahkan Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.

"Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya," kata Azmin.

Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Dalam sidang akhbar sebelumnya, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, usaha terbaru untuk membabitkan Anwar dalam tuduhan liwat ekoran laporan polis oleh bekas sukarelawan parti itu, menunjukkan usaha lebih serius oleh pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya.

Katanya, Anwar telah menjadi sasaran bukan sahaja pembunuhan politik tetapi juga menerima ancaman terhadap nyawanya.

"Kami (dalam PKR), dan saya sendiri, telah menerima maklumat bahawa ini adalah satu percubaan bukan sahaja untuk membunuh karier politiknya, tetapi jika boleh, membunuh beliau," kata Syed Husin dalam satu sidang akhbar di Hotel Quality di Shah Alam.

Katanya, pihak parti telah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan Anwar.

Menurut beliau, percubaan tersebut juga mungkin disebabkan oleh kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan seperti yang war-war Anwar sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, dalam kenyataannya yang dikeluarkan petang tadi, Anwar berkata beliau telah dibawa ke Kedutaan Turki awal pagi tadi demi keselamatan dirinya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menawarkan bantuan kepadanya dalam masa yang memerlukan ini.

Katanya, beliau juga terhutang budi kepada Duta Turki yang bersedia menyediakan perlindungan untuk dirinya di kedutaan tersebut.

"Saya ingin memberi jaminan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan para penyokong saya di Malaysia bahawa saya selamat dan kekal komited untuk meneruskan perjuangan bagi negara Malaysia yang bebas dan adil," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment