Menteri pengajian tinggi dituduh tidak serius untuk meningkatkan kualiti universiti tempatan apabila menjawab secara sambil lewa soalan seorang ahli parlimen pembangkang berhubung kaedah pemilihan naib canselor.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menimbulkan rasa tidak senang Tony Pua sewaktu menjawab secara ringkas soalan bertulisnya mengenai kedudukan naib canselor Universiti Malaya (UM) selepas ia terus merosot dalam pemeringkatan universiti dunia.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu juga berkata jawapan Mohamed Khaled itu menunjukkan menteri berkenaan memandang enteng soalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
"Jawapan tersebut betul-betul menimbulkan rasa kecewa kerana ahli parlimen tidak lebih 'jelas' berhubung proses pemilihan naib canselor berbanding sebelum soalan itu dijawab," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Perkhidmatan Datuk Rafiah Salim (foto kanan) sebagai pemimpin UM disambung enam bulan lagi dari awal Mei sehingga 7 November walaupun kedudukan institusi pengajian tinggi tersebut dipertikaikan banyak pihak.
Rafiah dilantik menggantikan Datuk Profesor Dr Hashim Yaacob dua tahun lalu untuk menangani masalah kemerosotan kualiti dan kedudukan mutu UM.
Bagaimanapun, kedudukan UM terus merosot dalam pemeringkatan Times Higher Education Supplement (THES): dari tangga 169 pada 2005 (ketika diambil alih Rafiah) kepada 192 pada 2006 dan tangga ke-245 tahun lalu.
UM juga masih belum tersenarai dalam pemeringkatan 500 universiti terkemuka dunia yang disediakan oleh Universiti Shanghai Jiaotung.
Bulan lepas Pua, yang juga penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP berkata Rafiah tidak mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani kemerosotan kualiti tersebut.
Menurut Pua (foto kiri), jawapan lengkap yang diberikan oleh Mohamed Khaled seperti berikut:
"Cara pemilihan naib canselor yang dilaksanakan oleh kementerian ialah membentuk satu jawatankuasa semakan atau carian bagi menilai prestasi naib canselor berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
"Sekiranya jawatankuasa berpuas hati dengan prestasi naib canselor sedia ada, maka jawatankuasa akan mengesyorkan kepada menteri supaya perkhidmatan naib canselor sedia ada disambung.
"Sekiranya jawatankuasa tidak berpuas hati, maka proses carian calon-calon yang berkelayakan akan dibuat.
"Calon-calon tersebut kemudiannya akan ditemuduga dan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria tertentu seperti nilai dan sikap yang positif, pencapaian akademik, kepimpinan dan pengurusan, pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa, artikulasi visi dan misi, kemahiran komunikasi dan jauga keperibadian yang unggul.
"Calon-calon yang berjaya akan disyorkan kepada menteri untuk pertimbangan dan persetujuan."
Pua berkata jawapan itu menunjukkan Mohamed Khaled tidak bersungguh-sungguh mereformasi sistem pendidikan tinggi bagi merapatkan jurang kualiti universiti tempatan dan luar negara.
"Dan jelas (menteri itu) tiada kesungguhan politik untuk mencapai matlamat universiti bertaraf dunia," katanya lagi.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment