01 May 2008

Suasana yang menampakkan kekuatan PR, tiada lagi siaran Langsung Dewan Rakyat masa depan?

"Siaran langsung akan dikaji semula" Menteri Penerangan

Kementerian Penerangan mungkin mengkaji semula siaran langsung persidangan Dewan Rakyat berikutan sesi soal jawab lisan hari ini yang sering terganggu apabila beberapa Anggota Parlimen sentiasa mempersoalkan peraturan mesyuarat.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata siaran langsung selama setengah jam menerusi saluran RTM1 itu adalah percubaan sahaja dan beliau akan mendapatkan maklumat balas daripada semua pihak termasuk orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan bincang sama ada kita masih memberi peluang kepada Anggota Parlimen untuk menggunakan sebaik-baiknya Parlimen dan siaran langsung yang diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini Rabu.

Beliau mengulas demikian setelah beberapa anggota pembangkang sering mempersoalkan peraturan mesyuarat menyebabkan sesi soal jawab lisan selama satu setengah jam hanya sempat mendengar tiga soalan berbanding 12 hingga 15 soalan pada kebiasaannya.

Ahmad Shabery berkata kementerian tidak akan menambah masa siaran langsung persidangan Dewan Rakyat.

"Saya sedar di negara-negara lain yang mengadakan siaran langsung secara penuh terutama sekali dalam negara dunia ketiga, inilah masalahnya. Anggota Parlimen tidak menumpukan perbincangan pada perkara yang penting kepada rakyat dan negara.

"Masing-masing hanya ingin menunjukkan kepentingan diri mereka, tentang peribadi mereka dan untuk tunjuk orang di luar sana tentang diri mereka, bukan negara," katanya.

Beliau berkata masa siaran langsung mungkin boleh dilanjutkan hanya jika Anggota Parlimen terutamanya pembangkang menunjukkan kematangan berfikiran secara kelas pertama.

"Mungkin ada rakyat suka tengok sarkas tapi Parlimen bukannya sarkas," katanya.

Beliau mengakui kecewa apabila pihak pembangkang tidak menghargai dan menyalahgunakan institusi Parlimen semasa persidangan hari ini.

"Institusi Parlimen ialah untuk berbincang dan mencari yang terbaik untuk rakyat tetapi hari ini digunakan untuk mencari publisiti murah, menimbulkan perkara yang remeh temeh," katanya.

Ahmad Shabery berkata tindakan pembangkang itu akan menyebabkan rakyat rasa tertipu dan secara jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan.

Ketika ditanya sama perbuatan pembangkang hari ini menunjukkan sikap sebenar mereka, beliau berkata: "Banyak lagi warna lain yang tersembunyi. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada warna sebenar mereka."

Di PUTRAJAYA, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau akan mencadangkan kepada mesyuarat Kabinet Jumaat ini untuk mengkaji semula keputusan menyiarkan secara langsung itu kerana timbul pelbagai kerenah pada siaran langsung sidang pagi tadi.

"Tanggapan masyarakat umum terhadap pemimpin mereka mungkin menurun atau negatif setelah melihat apa yang berlaku tadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama media.

Rais berkata beliau kesal kerana terdapat penggunaan bahasa yang kasar pada persidangan pagi tadi walaupun ianya disiarkan secara langsung.

"Kabinet perlu melihat kesan siaran langsung tadi dan mengkaji untung-ruginya," katanya.

Mengenai satu perkara lain, Rais berkata beliau akan mencadangkan agar Perdana Menteri hanya menghadiri forum antarabangsa yang utama sahaja untuk mendapatkan impak yang maksimum hasil penyertaan negara.

"Forum yang kecil-kecil, Wisma Putra akan meneliti dan memberi pandangan kepada Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri sendiri akan membuat keputusan," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment