13 May 2008

Shafie akui terdapat rakyat Sabah tidak puas hati dengan BN

Anggota Parlimen Semporna Datuk Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan satu kiriman pesanan ringkas (SMS) mengenai 17 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata dakwaan itu sama sekali tidak benar, sungguhpun beliau mengakui bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah yang sering didengari kini.

"Ia tidak benar, tetapi kita memang tahu ada sentimen ketidakpuasan hati rakyat di Sabah yang mahukan perubahan di negeri itu terutamanya dalam aspek kemudahan prasarana yang minta dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat Istana Budaya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menerima SMS kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata pihaknya memahami akan keluhan dan lontaran suara rakyat negeri Sabah yang menuntut perubahan dan meminta rakyat negeri di bawah bayu itu supaya bersabar memandangkan pelaksanaan sesuatu perubahan itu mengambil sedikit masa.

Shafie berkata pertukaran parti bukan sesuatu perkara mudah serta ringan, dan ia harus mengambil kira beberapa faktor penting.

"Apa jaminan yang diperolehi jika lompat parti... BN sudah lama wujud hasil dari gabungan semua kaum tetapi parti pembangkang adalah hasil gabungan PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP, kita kena fikir," katanya.

Shafie meminta masyarakat supaya tidak mempercayai khabar-khabar angin itu dan berkata tumpuan kini adalah untuk membangunkan negeri Sabah.

Terdahulu Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata Istana Budaya merupakan satu platform dalam penyebaran dan pengembangan seni budaya tempatan ke medan antarabangsa.

"Justeru Istana Budaya harus kreatif dalam memilih karya-karya yang mempunyai unsur tradsional dan moden untuk dipentaskan kepada umum, terutama dalam menarik minat generasi muda untuk mencintai seni budaya," katanya.
http://klpos.com

No comments:

Post a Comment