Cabul sepuluh wanita sehari
ALOR STAR - "Saya ingatkan Along (sepupu) peluk saya sebab itu saya biarkan tetapi apabila toleh belakang rupa-rupanya seorang lelaki yang saya tidak kenal."
Itu pengalaman cemas Achik, 23, (bukan nama sebenar) yang menjadi salah seorang daripada 10 mangsa cabul seorang lelaki semasa festival muzik di Menara Alor Star di sini semalam.
Menurutnya, selepas menyedarinya, dia menjerit dan lelaki terbabit melarikan diri di celah-celah orang ramai yang hadir di menara berkenaan.
"Saya cuba mengejarnya tetapi dia (pencabul) dapat melarikan diri dalam kesesakan orang ramai yang hadir," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star semalam.
Menurutnya, semasa kejadian, dia sedang berasak-asak dengan sepupunya yang dikenali sebagai Along, 17, untuk mengambil gambar penyampai radio dan artis di festival berkenaan sebelum lelaki terbabit memeluknya dari belakang.
Tambah Achik, selepas 15 minit kejadian itu berlalu, perkara yang sama menimpa sepupunya pula ketika mereka sedang beratur untuk mendapatkan tandatangan artis jemputan yang hadir.
Katanya lagi, selepas kejadian itu, mereka membuat keputusan untuk melaporkannya kepada pihak keselamatan namun ketika sampai ke khemah aduan, mereka mendapati pesalah itu sudah ditahan oleh pengawal keselamatan.
"Ketika saya dan Along berada di khemah keselamatan itu, baru saya tahu bukan saya dan Along sahaja yang menjadi mangsa lelaki tersebut sebaliknya lebih daripada 10 orang pengadu sedang menunggu untuk ke balai polis bagi melaporkan kejadian itu," dakwanya.
Difahamkan, selain memeluk dan meraba wanita, lelaki berusia 30-an itu juga didakwa menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
Pencabul yang diberkas itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment