KOTA TINGGI, 25 Mei (Bernama) -- Kira-kira 1,500 nelayan di Pengerang masih tertanya-tanya bagaimana mereka boleh mendekati Terumbu Karang Tengah yang kini disahkan menjadi milik Malaysia, untuk turun menangkap ikan di situ.
"Kita harap pihak berkuasa menyediakan panduan dari segi sempadan maritim atau garisan grid bagi memastikan nelayan kita tidak tersasar memasuki kawasan yang baru diputuskan itu," kata Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad.
"Pada ketika ini keadaan masih kabur dengan nelayan masih belum bersedia untuk menangkap ikan di Terumbu Karang Tengah kerana mereka bimbang ditahan oleh kapal peronda Singapura," katanya kepada Bernama.
Abu Bakar berkata bagi nelayan di Pengerang yang mahu ke Terumbu Karang Tengah, mereka akan melalui perairan Pulau Batu Puteh terlebih dahulu dan kedudukan ini sudah tentu bakal memberi masalah kepada mereka.
Pihak Singapura menurutnya, sudah tentu tidak akan membenarkan sesiapa pun menghampiri perairan Pulau Batu Puteh yang kini diisytiharkan sebagai milik mereka.
"Mereka akan menghalau kita walaupun kita berada satu batu dari perairan Pulau Batu Puteh. Jadi bagaimana hendak ke Terumbu Karang Tengah, jikalau perjalanan kita dihalang," katanya.
Hari Sabtu, Noor Farida Ariffin, bekas Duta Malaysia ke Belanda dan ejen dalam kes Pulau Batu Puteh, berkata nelayan Malaysia kini berhak menangkap ikan di sekitar Terumbu Karang Tengah selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa kelmarin mengisytiharkan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan terhadap terumbu karang itu.
Nelayan Malaysia tidak dibenarkan mencari rezeki di kawasan yang kaya dengan sumber ikan itu sejak 1986 kerana akan diusir oleh pihak berkuasa Singapura setiap kali mereka cuba menghampiri kawasan berkenaan.
Singapura menempatkan tentera lautnya di Pulau Batu Puteh berhampiran Terumbu Karang Tengah sejak pertengahan 1980-an.
Menurut Abu Bakar, pihak keselamatan negara perlu meletakkan anggota dan kapal peronda di perairan Terumbu Karang Tengah bagi membolehkan mereka mengawasi kegiatan nelayan negara ini dan memberi panduan tentang kawasan sempadan maritim.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment