28 May 2008

Peguam Negara lebih minat Batu Buruk daripada P. Batu Puteh

Apa yang disebutkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Peguam Negara (AG) lebih berminat kepada Batu Buruk berbanding Pulau Batu Puteh, mungkin terdapat kebenarannya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Badruzzaman Yusof berkata ia mempunyai cerminan kepada kesungguhan AG dalam memperjuangkan hak negara untuk mendapatkan hak milik Pulau Batu Puteh itu daripada negara Singapura.

"Berbanding Singapura, negara kita kelihatan kurang bersungguh jika dinilai daripada kehadiran pihak AG Malaysia yang tidak konsisten, kekadang ada, kekadang tidak semasa perbicaraan tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (CIJ)," katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, hal ini menonjolkan kepentingan diri dan politik tertentu pihak AG yang ternyata lebih cepat menangani isu-isu dalam negara lantas tidak mengendahkan isu-isu antarabangsa.

"Umno-BN tidak mengutamakan usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara sekali gus memperlihatkan kegagalan pihak kerajaan Umno-BN dalam menilai kepentingan negara dan politik parti mereka," ujarnya.

Katanya, antara punca kegagalan tersebut adalah sikap kerajaan yang tidak mahu mengiktiraf pakar-pakar tempatan dalam bidang hubungan antarabangsa.

"Buktinya terdapat sesetengah profesional yang terpaksa berusaha sendiri dalam memperjuangkan agenda negara tanpa perhatian sewajarnya daripada kerajaan ketika menghadiri program dan urusan yang mewakili kepentingan negara," katanya lagi.

Menghuraikan mengenai penghakiman kes Pulau Batu Puteh, Dr Kamaruzzaman menyatakan bahawa Singapura telah menggunakan surat yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyatakan Pulau Batu Puteh sebagai bukan sebahagian daripada Johor.

"Walau bagaimanapun, keputusan yang dibuat pihak CIJ sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada Malaysia apabila dua lagi pulau terumbu karang yang mengarah kepada Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Malaysia.

"Kebaikannya adalah pihak Singapura terpaksa melalui kedua-dua pulau tersebut sekiranya mereka ingin pergi ke Pulau Batu Puteh kerana kedudukannya yang terkepung, inilah keuntungannya," demikian katanya.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment