Kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa kononnya Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai mempunyai kaitan dengan anasir anti-Islam di Amerika adalah dangkal dan dibuat secara mala fide (berniat jahat), kata Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim.
Dalam satu kenyataan akhbar yang dimel-e kepada Harakah, Salehuddin berkata pemilihan Paul Wolfowitz sebagai pengulas di dalam artikel edisi Khas Majalah Time mengenai Anwar Ibrahim adalah keputusan bebas yang dibuat editorial majalah terbabit.
Menurutnya, Mukhriz secara asasnya gagal untuk memahami isi kandungan ulasan Wolfowitz yang menyatakan: When he was finally released from prison in 2004, U.S. policy on Iraq was unpopular in Malaysia, and Anwar was harshly critical. It would have been easy for him to disown our friendship, but he is not that kind of person. He kept the channels of dialogue open, even while making clear our disagreements.
Wolfowitz jelas Salehuddin, sebenarnya mengakui ketegasan Anwar mengenai perang di Iraq dan Anwar dengan tegas dan jelas menyatakan ketidaksetujuan beliau mengenai perkara tersebut.
"Keputusan Dato' Seri Anwar untuk tidak memutuskan jambatan silaturrahim menggambarkan sifat negarawan beliau, yang jelas membuktikan bahawa dengan memutuskan silaturrahim tidak akan membantu sebarang usaha menghentikan perang mahupun menyumbang sebarang harapan untuk keamanan di masa hadapan," ujarnya.
Merujuk kepada liputan Jerusalem Post yang menggambarkan Anwar sebagai bakal PM Malaysia, Salehuddin mencabar Mukhriz untuk membuktikan hanya akhbar negara Yahudi itu sahaja memainkan spekulasi itu.
"Hakikatnya adalah media di seluruh dunia tidak berada di bawah kawalan BN seperti mana berlaku di Malaysia. Secara objektifnya seluruh dunia kini memerhatikan kebenaran terserlah dengan perkembangan politik, kebangkitan rakyat, dan kejatuhan BN dewasa ini secara khusus menjadi petanda bahawa potensi Dato' Seri Anwar untuk menjadi bakal Perdana Menteri Malaysia adalah benar," ujarnya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment