24 May 2008

Implikasi keputusan ICJ bukan serta-merta

THE HAGUE, Belanda 23 Mei - Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad berkata, implikasi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini tidak boleh dilihat secara serta-merta kerana kedudukan Pulau Batu Putih dan Middle Rocks adalah berdekatan antara satu sama lain.

"Mesti ada proses rundingan jika salah satu pihak ingin melakukan sebarang tindakan di kedua-dua pulau itu," katanya.

Beliau yang juga Duta Tugas-Tugas Khas berkata, masa depan Pulau Batu Putih dan kedua-dua bentuk maritim berkenaan masih lagi tertakluk kepada rundingan antara pihak-pihak yang berkaitan.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasukan Malaysia telah membuat yang terbaik terutamanya dalam menghujahkan bahawa surat 1953 tidak mempunyai kuasa dari sudut perundangan.

''Malangnya, mahkamah memutuskan bahawa surat tersebut mempunyai kepentingan dalam kes ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, implikasi kes tersebut akan menjadi lebih jelas jika ketiga-tiga bentuk maritim itu diserahkan kepada satu pihak.

"Dengan cara itu kita tahu apa yang boleh dilakukan. Pada peringkat ini ia tampak masih kurang jelas," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri Singapura, Prof. S. Jayakumar gembira dengan keputusan ICJ menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada republik itu.

Menurut beliau, ini kerana pulau tersebut adalah yang paling penting berbanding Middle Rocks dan South Ledge.

"Bagaimanapun kami akan lebih gembira jika mahkamah memutuskan Pulau Batu Putih dan dua bentuk maritim lagi itu adalah milik Singapura.

"Kami menerima keputusan mahkamah. Apa yang lebih penting ialah kedua-dua negara bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian ini dengan merujuk kepada ICJ," katanya.

Jayakumar berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju menerima keputusan mahkamah sambil menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura tidak akan terjejas dengan perkembangan terbaru itu.

- Utusan

No comments:

Post a Comment