BERMULA dengan novel kemudian ke layar perak. Sudah menjadi trend terkini, banyak filem yang ditayangkan di pasaran tempatan mahupun luar negara merupakan adaptasi daripada karya-karya novel terkemuka.
Antara yang paling mendapat sambutan ialah filem bersiri Harry Potter yang diadaptasi dari siri novel penulis terkenal J. K. Rowling.
Tidak kurang juga dengan filem yang diadaptasi dari novel terkenal China, Naraka 19 - The 19th Gate of Hell, karya Choi Tsun yang berjaya memecah rekod penjualan melebihi dua juta naskhah tiga tahun lalu di negara itu.
Terbaru, sebuah filem yang diadaptasi daripada karya penulis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy atau Pak Abib iaitu Ayat-Ayat Cinta (AAC) bakal menjengah pawagam tempatan pada 16 Jun ini.
Pengarahnya, Hanung Bramantyo ketika ditemui pada sidang media filem tersebut di Tanjung Golden Village (TGV), KLCC baru-baru ini berkata, filem arahannya itu bersifat menyeluruh dan universal.
“Ayat-Ayat Cinta mengandungi mesej tersendiri. Ia merupakan sebuah filem yang bercirikan Islam di mana keikhlasan dan kesabaran merupakan kunci utama kekuatan seseorang Muslim.
“Di Indonesia, yang datang menonton filem ini tidak hanya yang beragama Islam tetapi turut ditonton oleh yang beragama lain. Sebab itu AAC menjadi sebuah filem fenomena di Indonesia dan mencatatkan jumlah hampir empat juta penonton,” kata Hanung.
Lagi berita...
No comments:
Post a Comment