Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk dicari suatu formula yang disepakati mengenai hukum syarak dan tatacara mengenai murtad atau permohonan keluar dari agama Islam di Malaysia.
Usaha ke arah itu, tegas presidennya, Yusri Mohamad, menuntut suatu proses "ijtihad kolektif" yang melibatkan ahli-ahli fatwa dan pakar-pakar perundangan dalam bidang yang terbabit.
"Adalah wajar pandangan semua pihak yang berkaitan dan berminat, termasuk yang bukan Islam, turut didengari dan diambil kira," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Akhirnya, memandangkan ini adalah isu hukum-hakam, (maka) para ahli fatwalah yang akan merumuskan keputusan terakhir dan cadangan peruntukan undang-undang yang sesuai," tambahnya.
Yusri berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah adalah sangat penting serta perlu disoroti dengan saksama dari pelbagai sudut agar sikap yang setepatnya dapat diambil terhadap perkembangan terkini berkaitan isu murtad di negara ini.
Sebenarnya, tegas beliau, ia bukanlah kes pertama seumpamanya di Malaysia, seperti yang dinyatakan oleh sesetengah laporan media.
"Abim dimaklumkan bahawa memang sudah ada sebelum ini beberapa kes melibatkan saudara baru yang telah memohon dan mendapat kebenaran mahkamah syariah untuk keluar dari agama Islam. Cuma kes-kes lain sebelum ini tidak mendapat liputan meluas," tegasnya.
Lagi berita...
No comments:
Post a Comment