20 April 2008

Umno pernah diharamkan kerana Mahathir

Kumpulan 11 muncul…dakwa Dr Mahathir penyebab UMNO haram

Bunyi nama kumpulan mereka seperti penyamun dan penyangak. Dalam sejarah UMNO ‘Kumpulan 11’ tercatat sebagai perosak yang akhirnya telah menyebabkan mahkamah membuat keputusan parti itu haram 20 tahun yang lampau.

Generasi muda hari ini mungkin tidak kenal wajah-wajah 11 orang ahli UMNO itu yang mempertikaikan kesahihan Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 yang menyaksikan pertandingan antara Team A Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Team B Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertandingan bersejarah pada 24 April 1987 itu Dr Mahathir menewaskan Tengku Razaleigh dengan majoriti cuma 43 undi.

Segalanya bermula bila kumpulan yang asalnya dianggotai oleh 12 orang itu merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat kerana mendakwa ada beberapa kes di mana ada mesyuarat UMNO cawangan dan bahagian tidak sah .

Selepas ia tidak dilayan baru mereka membawanya ke mahkamah.

Jika mesyuarat cawangan dan bahagian itu tidak sah maka dengan sendirinya perwakilan mereka yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu juga tidak sah.

Ini yang akhirnya membawa kepada Hakim Harun Hashim memutuskan UMNO haram.

Pagi Sabtu salah seorang anggota Kumpulan 11 itu, Rahim Abdul Rahman ( baju merah) mengadakan satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menuntut agar diperbetulkan fakta sejarah tentang fiasco pengharaman UMNO itu.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ini tidak mahu lagi kumpulan itu terus menerus dipandang sebagai ‘budak jahat’.

Rahim tampil ke depan setelah melihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara.

Khamis malam Perdana Menteri menghadiri jamuan makan malam Majlis Peguam yang turut dihadiri oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan tiga lagi bekas hakim yang dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.

Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO ekoran pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun1987.

Rahim yang kata beliau mewakili rakan-rakan lain dalam kumpulan itu (ada yang sudah meninggal dunia) mendakwa bahawa UMNO haram kerana tindak tanduk Dr Mahathir yang tidak mahu melihat UMNO pulih sebab bimbang pemilihan UMNO perlu diadakan semula waktu itu.

Katanya tindakan mereka membawa kes mesyuarat cawangan dan bahagian yang tidak sah itu semata-mata bertujuan agar Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula dan bukan hendak melihat UMNO haram.

Dakwa Rahim semasa mereka merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat Dr Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO masa itu Tan Sri Sanusi Junid bersikap tidak demokratik tidak melayan dan menjawabnya dengan betul.

“Sebelum ini tidak seorang pun berani mempertikaikan tingkah laku Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid yang dengan sewenang-wenangnya mentabir parti mengikut acuan dan citarasa mereka,”katanya.

Beliau mendakwa Dr Mahathir tidak mahu Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula kerana tidak yakin keputusan akan menyebelahi beliau jika pemilihan diadakan semula.

Dakwannya sebab itu bekas Perdana Menteri itu lebih suka melihat UMNO haram.

“Di situlah bermulanya episod The Grand Design of Mahathir ,”dakwa Rahim yang turut melibatkan pemecatan para hakim itu.

Katanya beliau sedia disaman oleh Dr Mahathir dan berdepan dengannya di mahkamah kerana membuat dakwaan ini.

Beliau juga kesal dengan cara bekas Perdana Menteri itu membangkitkan banyak isu berhubung dengan kepimpinan Abdullah iaitu orang yang beliau tunjuk mengantikannya.

“Soalnya apakah beliau merupakan the saints yang tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa? Soalnya apakah beliau lupa bahawa banyak kesalahan dan dosa beliau terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat masih belum tertebus?

“Pada hemat saya beliau sengaja melemparkan kritikan-kritikan pedas serta memperkecilkan YAB Perdana Menteri kerana tergugat oleh ketelusan YAB Perdana Menteri serta didorong oleh rasa takut bahawa kesalahan-kesalahan beliau akan terdedah satu demi satu,” dakwa Rahim.

http://www.agendadaily.com

Krisis 1988: K'jaan tidak minta maaf

Pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988 bukan merupakan satu bentuk minta maaf kerajaan terhadap mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pembayaran ex-gratia tidak harus ditafsirkan sebagai sebarang bentuk minta maaf tetapi ini adalah cara kita mengambil pertimbangan apa yang mereka lalui, pengalaman peribadi mereka, kesusahan yang telah mereka rasai.

"Itu saja...jadi ia patut dilihat dari aspek itu. Ia tidak harus ditafsirkan lebih daripada itu," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita di Cyberjaya hari ini.

Enam bekas hakim itu ialah Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed serta Datuk George Seah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan, selain membayar ex-gratia kepada enam hakim kanan itu, kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim untuk mencalonkan, melantik dan menaikkan pangkat hakim secara telus dan diwakili.

Mengenai anggota suruhanjaya itu, Bernama memetik Timbalan Perdana Menteri itu sebagai berkata ia akan dibincangkan kemudian.

"Saya fikir ia (penubuhan suruhanjaya) itu merupakan satu langkah ke depan yang penting kerana pembaharuan atau perubahan yang diumumkan Perdana Menteri semalam bermakna kerajaan sedar bahawa kita memang perlu memastikan bahawa kehakiman kita mempunyai kewibawaan yang tinggi dan sistem kehakiman di negara ini boleh bertindak dari segi membuat keputusan dengan cepat dan hakim-hakim yang mempunyai kewibawaan dan kebolehan tinggi dilantik di pelbagai peringkat.

"Pembentukan suruhanjaya ini adalah ditekankan di sini, hanya atas kapasitinya sebagai penasihat. Kuasa muktamad masih terletak kepada Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

"Ia merupakan satu langkah ke depan yang amat penting kerana ia bermakna Perdana Menteri mempunyai sekumpulan orang yang amat bijaksana dan terbilang untuk memberikan pendapat mengenai kesesuaian melantik seseorang itu memegang pelbagai jawatan dalam kehakiman," kata Najib.

http://www.malaysiakini.com

1 comment:

  1. Sebelum munculnya orang 11, seorang ketua cawangan dari jalan haji hussein kampung baru kuala lumpur telah membawa kes ini ke mahkamah.. Sila rujuk kepada buku bertajuk 'kerana nila setitik, UMNO diharamkan'
    Orang yang pertama yang membawa kes ini ke Mahkamah ialah Abdul Aziz Bin Shariff atau lebih dikenali sebagai AZIZI SHARIFF.. Beliau telah meninggal Dunia pada 27 November 1998.

    ReplyDelete