02 April 2008

Umno memerlukan pemimpin yang mempunyai aura seperti Anwar - Fuad

Pemimpin angguk punca Umno lesu

Seorang pemimpin Umno hari ini mendakwa parti itu menjadi semakin lesu kerana ia dipimpin oleh mereka yang suka mengangguk sahaja menyokong pemimpin atasan.

Sebaliknya parti itu boleh menjadi cergas jika diterajui oleh mereka yang cepat melakukan perubahan.

Ketua penerangan Umno Johor, Datuk Dr Mohd Fuad Zakarshi berkata, senario yang berlaku hari ini hampir sama dengan peristiwa kekalahan BN dalam pilihanraya umum 1999.

Katanya, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari raya keempat telah memanggil semua ahli Majlis Tertinggi (MT).

"Seorang MT boleh bawa dua orang lagi. Saya ketika itu setiausaha politik Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Mufti Johor Datuk Nooh Gadut hadir dalam mesyuarat tersebut.

"Dalam mesyuarat tersebut, Dr Mahathir bercakap mengenai tiga perkara mengapa Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999, termasuk anak-anak muda yang menjauhkan diri dari Umno," ceritanya ketika menyampaikan ucapan di forum forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian' di sebuah hotel di Petaling Jaya tengah hari ini.

Dr Mohd Fuad, yang juga ahli parlimen Batu Pahat berkata, Umno kini berdepan dengan situasi yang sama, malah lebih teruk lagi.

Sehubungan itu, pemimpin bersuara lantang itu bertanya "apakah yang kita lakukan?

"Tun (Dr Mahathir) mewujudkan Puteri Umno untuk menarik sokongan golongan muda, apa yang pemimpin sekarang buat?"

Beliau berkata, Umno kini telah hilang roh perjuangan kerakyatan, bangsa Melayu dan Islam kerana yang tinggal "roh perut" sahaja.

Katanya, berikutan itu Pemuda Umno memerlukan reformasi secara besar-besaran.

"Mentadbir Umno macam mentadbir negara (juga)... Umno tidak boleh ditadbir macam parti politik biasa. Kita mesti ada keupayaan intelektual.

"Kita tidak boleh bersandar pada kekuataan kerajaan, seolah-olah tidak sedar pada kekuatan (parti) sendiri," katanya.

Untuk melakukan perubahan dalam parti itu selepas kekalahan teruk pada pilihanraya umum lalu, Dr Mohd Fuad menegaskan pemimpin parti itu memerlukan keberanian dan keyakinan hati nurani.

"Jika tiada kekuatan dan keberanian, Umno akan terus ketinggalan kerana ia tidak boleh ditadbir secara tradisi lagi.

"Sebab itu saya kata peristiwa 8 Mac sebagai padah politik orang Melayu," katanya sambil menambah Majlis Tertinggi juga memerlukan rombakan.

Dr Mohd Fuad juga mengulas mengenai sistem kuota pencalonan barisan pemimpin atasan Umno yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Katanya, sistem kuota itu menuntut keberanian pemimpin peringkat bahagian dan dengan sifat itu mereka boleh mencalonkan sesiapa sahaja.

"Perlu ada keberanian untuk mengubah pemimpin. Mereka perlu berani untuk mencalonkan sama ada ada kuota atau tidak," katanya.

Umno mensyaratkan 30 peratus daripada 193 bahagian untuk pencalonan presiden, 20 peratus (timbalan presiden), 10 peratus (naib presiden) dan lima peratus bagi anggota MT.

Sementara itu dalam sidang media selepas itu, Fuad berkata, Umno memerlukan pemimpin yang mempunyai aura seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi beliau tidak sesuai dengan Umno," katanya.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment