01 April 2008

Selamatkan Sufiah

JPM Dan Yadim Jalankan Program Selamatkan Sufiah

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) akan berusaha membantu Sufiah Yusof, pelajar pintar yang dilaporkan melacurkan diri di London bagi menyara kehidupannya, menerusi "Program Selamatkan Sufiah".

Menteri berkenaan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata JPM dan Yadim akan membantu gadis itu kembali ke jalan yang benar kerana mungkin apa yang menimpa dirinya mempunyai sebab tertentu.

"Langkah pertama ialah untuk cuba menghubungi ibu gadis itu atau mengatur pertemuan bagi mengetahui situasi sebenar yang menyebabkan gadis itu sanggup mengiklankan perkhimatannya di internet," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Yadim di sini hari ini.

"Program Selamatkan Sufiah" itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang bertanggungjawab bagi merangka strategi dan kaedah yang sesuai bagi membantu Sufiah secepat mungkin.

Sufiah, 23, pernah menjadi tajuk berita sebagai kanak-kanak pintar apabila memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun.

Ibunya, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, manakala bapanya Farooq Yusof dari Pakistan kini dipenjara kerana bersalah mencabul kehormatan dua gadis.

Dalam perkembangan lain, Zahid meminta para penulis blog yang beragama Islam memainkan peranan bagi membantu menangkis serangan terhadap Islam yang dilakukan ahli politik Belanda, Geert Wilders yang menghina ajaran Islam menerusi filem terbitannya 'Fitna'.

"Masa inilah untuk membuktikan kemampuan mereka jangan hanya gunakan blog untuk kutuk kerajaan sahaja," katanya.

Beliau berkata tindakan memboikot barangan keluaran negara itu adalah baik tetapi tidak cukup bagi menentang serangan terhadap Islam.

"Masa inilah juga umat Islam perlu mengenepikan pegangan politik sebaliknya bersatu hati untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang sewenang-wenangnya menghina ajaran Islam," katanya. Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam internet pada 27 Mac lepas itu memaparkan Islam sebagai agama yang berkaitan dengan ekstremisme dan keganasan dan ia mendapat bantahan daripada umat Islam di seluruh dunia. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment