24 April 2008

Tukar kenyataan mengejut, kejadian mencabul tidak pernah berlaku

Wanita tarik aduan dicabul bekas menteri

KUALA LUMPUR: Wanita yang membuat laporan polis mendakwa dicabul bekas menteri bergelar 'Datuk Seri', menarik balik laporannya itu selepas mengesahkan ia berlaku kerana salah faham.

Peguam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pekerja hotel wanita berusia 30-an itu berkata, laporan polis terhadap orang kenamaan terbabit ditarik balik pada jam 2.30 petang semalam.

“Pelanggan saya tidak pernah mendakwa beliau dicabul oleh bekas menteri. Apa yang sebenarnya berlaku adalah salah faham,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, beliau sudah menghantar surat berkanun kepada Peguam Negara dan polis bagi memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran mengenai surat berkanun itu.

Kelmarin, polis berkata mereka melakukan siasatan terhadap bekas menteri berikutan aduan yang didakwa mencabul pekerja wanita sebuah hotel di Brickfields di sini, 14 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata siasatan dibuat berhubung aduan dibuat wanita itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, pada jam 10 malam, Jumaat lalu.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan menerima surat berkanun daripada wanita terbabit.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa kejadian mencabul tidak pernah berlaku dan perkara itu berlaku kerana salah faham.

“Saya sedang meneliti surat berkanun itu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak terburu-buru membuat laporan polis kerana jika perkara itu tidak benar, ia akan menyusahkan banyak pihak.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment