09 April 2008

Tentang Sang Kelembai berpaling tadah

DI LUAR SANA...HIKAYAT SAHABATKU SANG KELEMBAI

Di kalangan bloggers yang postingnya berlegar dalam dunia politik, isu yang rancak diperbualkan sekarang ialah tentang Sang Kelembai yang dikatakan mencium tangan dan berpeluk-peluk dengan Pak Lah. Dalam bahasa mudahnya, tentang Sang Kelembai berpaling tadah.

Saya kenal baik dengan blogger otai ini. Betul-betul dah macam adik-beradik. Sememangnya pun saya ber’abang’kan dia. Jadi banyak jugalah kawan-kawan yang tahu tentang hubungan abang-adik itu bertanya saya, kenapa, mengapa dan bagaimana Sang Kelembai boleh jadi begitu? Tidak takutkah dia menjadi batu kerana terkena sumpahan sendiri? Berapa banyak dia dapat? Macam-macam.

Saya sebenarnya tidak terkejut sedikit pun bila mendapat tahu mengenai peristiwa di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, di mana abang saya itu kembali berbaik-baik dengan Pak Lah. Saya kenal dia. Saya tahu garangnya dan saya tahu soft-spotnya. Dia memang terkenal dengan cakap lepasnya, tetapi dia juga sangat dikenali kerana lembut hatinya.

Dalam politik, tidak ada apa yang pelik. Segalanya mungkin. Ia boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Lebih daripada itu kita hidup dalam kerangka demokrasi yang luas ruang litupnya. Atas nama demokrasi, sebagaimana kita mahu bebas membuat pilihan, izinkanlah Kelembai membuat pilihannya sendiri.

Harus diingat, setiap orang melakukan sesuatu dengan misinya. Bagi Kelembai, misinya mungkin untuk menyedarkan Pak Lah dan Umno.

Dalam kenyataannya yang tersiar di agendadaily, Kelembai membayangkan dia mula lembut hati terhadap Pak Lah, bila Presiden Umno dan Perdana Menteri itu membuat pengakuan beliau memikul tanggungjawab atas prestasi teruk BN dan kekalahan di empat negeri lagi dua hari lalu.
“Bagi saya satu pengakuan bertanggungjawab itu penting bagi seseorang pemimpin,”katanya.

Sang Kelembai juga mengaku bahawa beliau turut menyumbang pada tsunami politik yang melanda Umno baru-baru ini. Tsunami yang menyebabkan Umno tersedar dari lenanya.

Jadi, berasaskan keadaan itu, Kelembai mungkin menganggap misi utamanya telah selesai.

Kita tunggu tengok apakah pula misi beliau yang berikutnya selain daripada untuk membantu Pak Lah memperkasakan semula Umno. Mungkinkah untuk diterima kembali oleh parti? Mungkin untuk kembali menjadi orang penting di Umno Bahagian Bandar Tun Razak? Atau mungkin, seperti kata Najib, orang kuat Tengku Razaleigh yang juga macam abang-adik dengan Sang Kelembai, untuk menjadi Setiausaha Kerja Umno Malaysia yang baru.

Sementara itu tak payahlah kita marah-marah pada dia. Sebagaimana kita gembira bila seseorang itu memilih untuk berada di pihak kita, kita juga harus gembira bila dia memutuskan untuk berada di pihak yang lain.

Kalau kita membebel panjang mengenai perkara ini, akhirnya kita menjadi sama seperti mereka – orang-orang yang cuba ‘melarang’ Tun Dr Mahathir bercakap!

http://depa-kata.blogspot.com

No comments:

Post a Comment