05 April 2008

Satu demi satu bahagian Umno bangkit menuntut perubahan kepimpinan berikutan kekalahan besar BN pada pilihan raya lalu - Malaysiakini

Umno Paya Besar Mahu Semua Anggota MT Letak Jawatan

KUANTAN, 4 April (Bernama) -- Ketua Bahagian Umno Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman meminta semua anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno meletak jawatan berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Saya bercakap atas kapasiti sebagai Ketua Umno bahagian, bukannya sebagai Setiausaha Umno Negeri Pahang, Umno bahagian Paya Besar mahu semua ahli Majlis Tertinggi meletakkan jawatan," katanya malam ini.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan Fasal 9.11 Perlembagaan Umno bahawa jika semua ahli MT meletakkan jawatan, maka Perhimpunan Agung Khas bagi menubuhkan semula MT perlu diadakan dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari.

Beliau berkata semua ahli MT perlu berbuat demikian bagi membolehkan perhimpunan Agung Khas itu diadakan.

Ahmad Tajuddin sebelum ini merupakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Lepar. Beliau bagaimanapun tidak dipilih semula untuk bertanding di kawasan tersebut pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon BN Mohd Shohaimi Jusoh menewaskan calon PKR Khazizi Ahmad dengan majoriti 4,163 undi.

-- BERNAMA

Lagi mahu pinda perlembagaan

Umno bahagian Cheras merancang untuk mengadakan perhimpunan agung khas bagi meminda perlembagaan untuk memansuhkan sistem kuota dalam pemilihan parti.

"Kami merancang untuk mengadakannya pada 27 April ini, dan jangka masa tiga minggu ini membolehkan kami membuat persiapan rapi ke arah itu," kata ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Untuk itu, ahli jawatankuasa bahagian Umno itu akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi mendapat persetujuan untuk mengadakan mesyuarat khas tersebut.

"Kami buat mengikut undang-undang Umno iaitu perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada AJK bahagian," katanya.

Syed Ali berkata, perhimpunan itu lanjutan daripada resolusi yang diluluskan oleh bahagian itu supaya diadakan satu perhimpunan agung khas bagi membolehkan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Majlis Tertinggi (MT) mendengar secara jelas dan terbuka apa jua kritikan, saranan dan cadangan dari kalangan akar umbi.

Pada 25 Mac, Umno bahagian Cheras telah mengadakan mesyuarat khas empat peringkat membabitkan AJK bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri telah meluluskan 11 resolusi.

Mesyuarat ini, katanya, bertujuan membolehkan Umno membina semula kemantapan parti secara keseluruhan setelah kalah teruk dalam pilihanraya umum baru-baru ini.

Umno Cheras, katanya, meminta Abdullah lebih sedia mendengar rungutan, keluhan, kritikan dan saranan untuk memastikan Umno kekal subur dan kepimpinannya dihormati.

Sementara itu, persidangan perwakilan khas Umno Gua Musang hari ini mencadangkan 11 pindaan perlembagaan Umno dan memperkenalkan empat fasal baru, untuk mengembalikan kuasa kepada ahli-ahli khususnya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti orang Melayu itu.

Cadangan itu termasuklah supaya pemilihan Majlis Tertinggi, pucuk pimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, dibuat oleh ahli-ahli dan bukan lagi melalui perhimpunan agung Umno.

Manakala pengerusi dan timbalan pengerusi badan perhubungan negeri pula dipilih oleh tiap-tiap anggota jawatankuasa bahagian.

Ia juga mencadang ditambah ahli Majlis Tertinggi yang dipilih dari 25 kepada 35 orang.

Umno Gua Musang mahu Fasal 9.5 yang membabitkan kuota pencalonan untuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT) dipinda.

Ia juga mencadangkan enam perkara - Fasal 10.3, 14.5.1, 14.5.4, 15,13.1, 15.5 dan 15.5.7 dimansuhkan terus.

Empat fasal baru yang dicadangkan ialah 8.3.5, 10.1A, 17.5.9 dan 18.12.12.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment