23 April 2008

Rm100 juta hantar seorang rakyat Malaysia ke angkasa

Faiz akur apa sahaja keputusan kerajaan

KUANTAN 22 April - Angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed berkata, beliau akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan berhubung peluangnya untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berikutan kos penghantarannya mencecah RM100 juta.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau berharap semua pihak dapat memahami matlamat sebenar kewujudan program itu dan tidak melihatnya sebagai berkepentingan individu.

''Setiap perbelanjaan yang negara keluarkan adalah pelaburan. Kita harus melihat ia dalam skop yang lebih besar kerana bidang aeroangkasa adalah satu industri kajian dan penyelidikan," katanya.

Ikon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis motivasi dan latihan di Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Komandan kem, Leftenan Komander Mohd. Zailani Osman.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili berkata, kerajaan setakat ini belum mempunyai bajet untuk menghantar angkasawan kedua ke ISS pada tahun 2011.

Jelas Maximus, pada dasarnya kerajaan telah membuat keputusan akan meneruskan misi penghantaran tersebut tetapi masih menunggu keputusan kajian yang dijalankan mengenai misi itu.

Faiz sebelum ini dijadualkan berlepas ke ISS selewat-lewatnya pada 2011. Beliau dijangka berada di stesen itu selama enam bulan bagi menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan.

Menurut beliau, jika semua pihak dapat melihat kesannya kepada negara, beliau yakin mereka akan lebih jelas mengenai program tersebut kepada industri penyelidikan itu.

Beliau berkata, pemimpin dan rakyat negara ini harus melihat program aeroangkasa tersebut seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun.

''Selama 50 tahun mereka berkecimpung dalam bidang ini dan mereka masih meneruskan kajian serta penyelidikan kerana ia merupakan satu usaha yang berterusan," katanya.

Tambah beliau, berbanding negara-negara lain, Malaysia bertuah kerana diberikan peluang menghantar angkasawan ke ISS bagi meneroka sendiri keajaiban angkasa lepas.

Bagaimanapun, ujar Faiz , untuk menjadi angkasawan tidak semestinya seseorang itu perlu berada di ISS kerana bidang itu sangat luas.

''Saya masih lagi boleh menyumbang dalam banyak aspek dalam bidang aeroangkasa ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment