23 April 2008

Padah menolong penagih dadah

Keluarga tidak sangka Zaiton dibunuh kejam

KEMAMAN 22 April - Keluarga pemandu van sekolah, Zaiton Muhamad, 55, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang sejak 16 April lalu tidak menyangka wanita itu menemui ajal di tangan suspek yang mempunyai hubungan keluarga dengan mereka.

Anak sulung mangsa, Zamzuri Ariffin, 38, berkata, mereka terkejut dengan kejadian itu kerana suspek yang disyaki melarikan ibu mereka sama sekali tidak menunjukkan sikap seorang yang kejam.

"Saya ingatkan paling teruk pun, penculik akan meminta wang tebusan atau sekadar merompak barang kemas dan duit yang ada dengan emak sahaja," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman hari ini.

Mayat Zaiton ditemui tertanam dalam lubang sedalam 0.6 meter di tepi tapak semaian di Kampung Bukit Takar, Ibok di sini kira-kira pukul 9 malam tadi selepas suspek yang ditahan untuk siasatan kes itu semalam, menunjukkan lokasi mangsa ditanam.

Menurut Zamzuri, jika lelaki itu meminta wang tebusan yang banyak sekalipun, mereka bersedia untuk memberikannya asalkan ibu mereka tidak diapa-apakan.

Sementara itu, adik mangsa, Zainal Muhamad, 43, memberitahu, beliau mengenali suspek sebagai seorang yang baik dan sama sekali tidak menyangka dia berkecenderungan untuk melakukan jenayah yang begitu kejam.

"Saya dapat tahu kakak saya benarkan lelaki itu bersama isteri dan dua anaknya tinggal di bahagian atas rumahnya sejak tiga bulan lalu atas dasar untuk membantu saudara-mara yang mengalami kesusahan," ujarnya.

Menurut Zainal, isteri suspek mempunyai hubungan saudara dengan arwah suami Zaiton dan hubungan mereka juga agak rapat sebelum pasangan itu berpindah ke bahagian atas rumah mangsa kerana mengalami masalah dengan tempat tinggal mereka sebelum ini.

Namun kata Zainal, beberapa hari sebelum kejadian, Zaiton ada meluahkan kebimbangannya apabila ramai peminta hutang datang ke rumahnya bagi menuntut hutang daripada suspek yang merupakan seorang penagih dadah.

Beliau kesal dengan sikap polis yang didakwanya tidak mengambil tindakan segera berhubung kehilangan Zaiton sedangkan keluarga mangsa telah memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang pencariannya.

Menurutnya, mereka berusaha mencari sendiri Zaiton dan saksi yang seterusnya memberikan maklumat tentang suspek dan mangsa sehingga membawa kepada penangkapan suspek kelmarin.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rofiah Mohamad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek berumur 27 tahun itu selama seminggu sehingga 29 April ini untuk membantu siasatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment