Oleh A Kadir Jasin
MENGENAI rancangan Blog di TV1 semalam, rasanya tidak payahlah saya mengulas terlalu panjang. Saya sudah pun beri maklum balas kepada petugas RTM yang ramai hadir.
Saya yakin mereka faham. Malah saya yakin menteri, Ahmad Shabery Cheek, telah mendapat banyak maklum balas, faham dan akan bertindak.
Menang waktu terlalu singkat. Masa berbincang tak sampai 15 minit. Tetapi anggaplah ia sebagai proses pembelajaran -- buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Selain ulasan berharga saudara dan saudari dalam blog ini, saya juga menerima SMS dan panggilan telefon mengenai program itu. Terima kasih.
Kalau banyak yang menonton dan kecewa itu menunjukkan “promo” RTM berjaya tetapi program sebenar gagal menetapi harapan penonton. Kesimpulannya RTM ada pengaruh tetapi tidak berjaya memenuhi harapan khalayaknya.
Namun kita berilah peluang kepada RTM. Saya rasa bukan mudah bagi mereka mengadakan program seperti ini. Saya lebih cenderung melihat yang positif.
Misalnya, pertama daripada pengundian telefon atas tajuk “mampukah blog menjadi media alternatif,” kalau tidak silap saya, 94 peratus responden menjawab “ya.” Hanya enam peratus menjawab “tidak”.
Kedua, saya juga dimaklumkan banyak yang membuat panggilan telefon dan menghantar e-mail untuk memberi pandangan dan bertanya soalan. Terpulanglah kepada RTM untuk bertindak balas.
Ketiga, mana-mana pemblog (blogger) yang dijemput untuk program seterusnya akan mempunyai masa yang lebih sedikit daripada saya kerana tidak perlu lagi memberi penjelasan mengenai apa itu blog.
Saya sengaja mengambil sedikit masa menerangkan mengenai blog, pemblog dan teknologi yang memungkinkannya sebab ini program pertama.
Akhir sekali daripada kementerian yang membenci dan mempersendakan pemblog yang digelar goblok, syok sendiri dan sebagainya, Kementerian Penerangan di bawah Ahmad Shabery lebih toleransi terhadap blogger.
Bagi saya, blog hanyalah perantara (medium). Yang lebih utama adalah siapa yang menggunakannya dan apa yang dimuatkannya.
Di banyak negara maju, blog sudah menjadi media arus perdana. Saya tidak pasti sama ada itu baik atau buruk. Hanya masa menentukan.
http://www.detikdaily.net
No comments:
Post a Comment