03 April 2008

Pemimpin UMNO bertelagah sesama sendiri, ahli UMNO keliru - Shahiruddin Adun BN Dong - MalaysiaKini

Undur: MT mesti jujur beritahu PM

Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno mesti berani berterus terang kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada beliau perlu berundur sebagai presiden parti itu, kata ketua bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin.

Bekas exco kerajaan Pahang itu berkata, mereka tidak harus berpura-pura tetapi hendaklah bersikap jujur dan berani memberikan pandangan kepada presiden Umno.

"MT harus beri pandangan secara terbuka kepada Datuk Seri Abdullah, kalau beliau perlu undur, MT harus beri pandangan.

"Kalau tidak perlu undur, MT harus berikan sokongan padu dan bekerja untuk memulihkan parti," katanya kepada pemberita di Raub hari ini.

Shahiruddin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, bawah parlimen Raub, dalam pilihanraya umum lalu dengan majoriti 3,391 undi.

Beliau mendapat 6,804 undi untuk menewaskan calon PKR, Kamaluddin Abdul Rahman (3,413 undi) dan calon bebas, Tengku Abdul Hamid yang mendapat 387 undi.

Mansuh kuota

Shahiruddin bagaimanapun tidak dilantik semula menganggotai barisan exco kerajaan kali ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata isu pemansuhan sistem kuota bagi melayakkan seseorang ahli Umno bertanding jawatan tinggi parti, tidak harus dibincang secara terbuka.

Sebaliknya, tambah Shahiruddin, ia perlu diselesaikan di peringkat MT.

Perbahasan secara terbuka berhubung isu itu, tambahnya, boleh menyebabkan ahli parti di peringkat akar umbi menjadi keliru.

"Pemimpin Umno tidak perlu bertelagah sesama sendiri dan memberikan kenyataan terbuka melalui akhbar kerana ini hanya akan menyebabkan ahli Umno di peringkat bawahan bertambah keliru.

"Mereka (MT) sudah lari daripada fokus utama dan masalah sebenar iaitu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno," katanya.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment