24 April 2008

Pembaharuan Permit Makkal Osai Diluluskan

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) Khamis meluluskan permohonan untuk memperbaharui permit percetakan akhbar harian berbahasa tamil, Makkal Osai.

Pengurus Besar akhbar itu S.M. Periasamy berkata surat kelulusan itu diterima pukul 9.30 pagi Khamis dari Pejabat Menteri Dalam Negeri.

"Selepas mendapat surat itu kita ke Putrajaya untuk membuat pembayaran pembaharuan permit tengah hari tadi," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata syarikat akhbar itu akan beroperasi semula keesokan harinya.

"Tidak ada sebab atau syarat yang diletakkan kepada kita tetapi kita akan lebih berhati-hati dalam penulisan pada masa akan datang.

"Kita berharap selepas ini tidak ada lagi penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum dan berharap juga semua pembaca kaum India akan tetap memilih kita," katanya.

Makkal Osai tidak dapat meneruskan penerbitannya sejak 16 April lepas setelah KDN menolak permohonannya untuk memperbaharui permit penerbitan.

Pada Ogos tahun lepas, permit penerbitan akhbar itu telah digantung sebulan sehingga 24 Sept 2007 kerana menyiarkan iklan yang memuatkan karikatur Nabi Isa memegang sebatang rokok dan setin minuman.

Akhbar yang beroperasi sejak 1992 itu mempunyai 102 pekerja dan mempunyai purata jualan 52,000 naskhah sehari.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment