17 April 2008

Pembaharuan permit Makkal Osai ditolak

KUALA LUMPUR 16 April — Kementerian Dalam Negeri telah menolak permohonan pembaharuan permit penerbitan akhbar harian berbahasa Tamil, Makkal Osai, berkuat kuasa hari ini, menurut pengurus besar akhbar berkenaan S.M.Periasamy hari ini.

Katanya, pihak pengurusan telah menerima surat dari kementerian menolak permohonan itu hari ini.

“Kami memohon pembaharuan permit penerbitan pada 18 Julai tahun lepas ekoran tempoh sah berakhir Oktober 2007. Walaupun, tempoh permit sudah tamat, kami terus menerbitkan akhbar sementara menunggu keputusan pihak kementerian.

“Kami akan bertemu dengan pegawai kementerian esok untuk membuat rayuan. Harap pihak kementerian akan membantu kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada Ogos tahun lepas, permit penerbitan akhbar itu digantung sebulan sehingga 24 Sept 2007 kerana menyiarkan iklan yang memuatkan karikatur Nabi Isa memegang sebatang rokok dan setin minuman.

Perisamy berkata, beliau bimbang dengan nasib 102 pekerja syarikat itu kerana terpaksa menanggung keperitan berikutan keputusan tersebut.

Akhbar yang beroperasi sejak 1992 itu kini mempunyai purata jualan 52,000 naskah sehari.- Bernama

No comments:

Post a Comment