26 April 2008

Orang Sabah tidak setia kepada Umno - Tengku Razaleigh

Ku Li Percaya Hasrat PKR Ambil Alih Kerajaan Boleh Jadi Nyata

PETALING JAYA, 26 April (Bernama) -- Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih pentadiran negara dalam masa beberapa bulan akan datang tidak mustahil dan boleh menjadi kenyataan, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ini kerana memang ada kemungkinan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) "menyeberang" ke pihak Pembangkang.

"Ini bukan cakap main-main, tak boleh kata ini tak boleh berlaku. Orang di Sabah tak begitu kuat rasa kecintaannya terhadap Umno, tak macam kita di sini yang lahir dan membesar dalam Umno dan segala benda yang kita sentuh ada kaitan dengan Umno.

"Saya juga tengok kebanyakan Anggota Parlimen yang terpilih adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu dan mereka masih berhubung rapat dengan Anwar," katanya semasa sesi pertemuan dengan anggota Umno dari cawangan-cawangan sekitar Subang Jaya di sini hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga yakin Anwar serius dengan hasratnya mahu mengambil alih kerajaan.

"Tadi kebetulan semasa datang ke sini saya naik satu kapal terbang dengan beliau dan saya tanya beliau sendiri, dan beliau kata beliau serius," katanya.

Tengku Razaleigh berkata berdasarkan kepada faktor-faktor itu, pemimpin BN wajar mengambil serius kenyataan Anwar kerana dengan hanya 30 kerusi Parlimen, kerajaan BN boleh tumbang.

"Jangan fikir kita boleh terus berkuasa. Kena ambil tindakan tegas untuk atasi masalah ini," katanya yang turut melahirkan kebimbangan dengan sikap pemimpin BN sekarang berhubung isu itu.

Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berpandangan pemimpin BN sekarang bersikap seolah-olah pengambilalihan kuasa oleh pembangkang tidak akan berlaku.

Ditanya mengenai keyakinannya bahawa terdapat kemungkinan Anggota Parlimen dari Sabah menyertai PKR, Tengku Razaleigh berkata keyakinan itu berdasarkan "suara-suara" dari negeri itu yang antara lain mengatakan bahawa mereka masih kurang senang dengan keadaan sekarang.

"Daripada apa yang saya dengar, mereka tidak mendapat apa yang mereka minta, misalnya lebih banyak perwakilan, maka perkara ini perlu diselesaikan," katanya.

Kepada soalan lain, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap bertanding jawatan presiden Umno sekalipun ketika pemilihan parti pada Disember nanti, jawatan itu telah dipegang oleh orang lain.

"Kalau saya diberi mandat saya akan bertanding," katanya sambil menambah setakat ini hasrat beliau disambut baik oleh kebanyakan bahagian Umno.

www.bernama.com

Ku Li: Wakil BN lompat boleh berlaku

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan dakwaan PKR bahawa 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, boleh menjadi kenyataan.

"Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

"Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka," kata ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka hari ini.

"Kita tahu PKR begitu serius hendak kalah kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahir dan dibesarkan dalam suasana Umno.

"Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal," tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

"Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut)," tambah Tengku Razaleigh

http://www.malaysiakini.com/news/81979

No comments:

Post a Comment