Pemimpin pemisah Islam Filipina diminta bantu proses damai
MANILA: Pemimpin pemisah Islam Filipina, Nur Misuari yang dipenjarakan kerana mengetuai pemberontakan di selatan negara itu, semalam dibebaskan dengan bayaran ikat jamin AS$1,200 (RM3,840) bagi membolehkan beliau menyertai usaha penilaian semula perjanjian damai dengan kerajaan.
Misuari mengasaskan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), kumpulan pemisah terbesar Filipina. Ia menandatangani perjanjian damai bersejarah pada 1996 sebagai pertukaran kepada kuasa autonomi terhad bagi penduduk Islam di selatan negara itu.
Beliau ditahan pada tahun 2001 dan didakwa sebagai pemberontak selepas pengikutnya melancarkan serangan yang mengorbankan kira-kira 100 orang di Jolo. Beliau pada awalnya ditahan di balai polis di luar Manila tetapi kemudian dikenakan tahanan dalam rumah.
Jabatan Kehakiman berkata, mahkamah mengarahkan Misuari dibenarkan ikat jamin selaras dengan keputusan Kabinet baru-baru ini. Penasihat proses damai, Jesus Dureza, mengalu-alukan keputusan itu dan menyifatkan Misuari 'sebagai rakan keamanan dan pembangunan.'
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dianggotai 56 negara Islam, menjadi orang tengah dalam pemberontakan yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad itu dan meminta kerajaan membebaskan Misuari menjelang rundingan di Manila pada 26 hingga 29 Mei ini mengenai pelaksanaan perjanjian damai 1996 di tengah rungutan ia tidak dikuat kuasa sepenuhnya.
MNLF menggugurkan tuntutannya mendapatkan kemerdekaan dan menerima kuasa autonomi apabila ia menandatangani perjanjian itu.
Sebuah kumpulan pemisah lain, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menolak perjanjian damai 1996 itu dan terus berjuang.
Bagaimanapun, ia menandatangani gencatan senjata pada 2003 dan mengadakan rundingan dengan kerajaan.
Selatan Filipina, yang dianggap sebagai milik penduduk Islam, kekal miskin dan digegarkan dengan keganasan. MNLF pula berpecah akibat perbalahan cawangan.
Awal bulan ini, seorang anggota pergerakan itu menyingkirkan Misuari sebagai ketua kumpulan berkenaan tetapi penyokong tokoh itu menegaskan mereka tidak akan mengiktiraf orang lain sebagai ketua. AP
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment