10 April 2008

Ladang babi moden langkah positif elak kesan negatif ladang lama sedia ada - Khalid

Selangor tidak akan tunduk - Khalid

SHAH ALAM 9 April - Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor tidak akan tunduk kepada desakan mana- mana pihak supaya menghentikan atau memindahkan lokasi projek ternakan babi moden yang bakal diusahakan di Sepang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah kajian terperinci yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini mendapati kawasan tersebut didiami oleh majoriti penduduk bukan Islam.

Justeru, beliau menyangkal dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak mengambil kira sensitiviti rakyat terlebih dahulu sebelum meneruskan projek berkenaan.

"Kajian menunjukkan kawasan ini mempunyai paling ramai penduduk yang makan haiwan (babi) itu.

"Kalau kita pergi dan tinjau sekitar Sepang, kita akan berjumpa dengan penempatan yang majoriti dihuni penduduk bukan Islam seperti Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Saya tahu benar kawasan ini kerana saya pernah jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Guthrie yang mengusahakan perladangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di sini hari ini.

Isu ladang babi bernilai RM100 juta di Sepang hangat diperkatakan setelah Exco Selangor, Teresa Kok mengesahkan kelulusan projek tersebut oleh kerajaan negeri.

Berikutan kenyataan tersebut, pelbagai pihak termasuk penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) membantah kerana keputusan kerajaan negeri itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti rakyat.

Menurut Abdul Khalid, lawatan dan perbincangan antara kerajaan negeri dengan penduduk setempat juga tidak perlu dilakukan kerana wakil-wakil penduduk sudah dimaklumkan secara menyeluruh mengenai projek berkenaan termasuk lawatan ke ladang penternakan babi moden di Eropah.

Beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan bantahan oleh penduduk berkenaan yang disiarkan dalam media massa kerana mereka seharusnya telah sedia maklum dengan perkara itu.

"Projek ini perlu diteruskan kerana secara prinsipnya telah diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan negeri sebelum ini melalui pengambilan tanah seluas kira-kira 136 hektar di Mukim Batu, Kuala Langat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

"Mereka yang membuat protes itu pun dah pergi tengok sendiri ladang babi moden di luar negara.

"Keputusan yang dibuat adalah munasabah kerana rakyat Selangor sendiri yang inginkan pembaharuan dan ini adalah salah satu usaha menjana perubahan tersebut," ujarnya.

Beliau memberitahu, jika projek itu tidak diteruskan, ia sudah pasti akan membawa kesan negatif kepada kawasan berkenaan yang merupakan tapak utama ladang babi di Selangor.

Antaranya, jelas beliau, wabak penyakit virus Japanese Encephalitis (JE) Nipah yang pernah terjadi di Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk pada tahun 1999.

Beliau juga memberi jaminan bahawa bilangan babi yang diternak di ladang moden itu hanya untuk keperluan penduduk Selangor dan bukan tujuan lain seperti eksport.

Sementara itu, mengenai mesyuarat Exco yang diadakan hari ini, Abdul Khalid berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah menyusun semula ladang-ladang penternakan lembu di Selangor.

"Kami juga bersetuju untuk menjalin hubungan dua hala dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menangani rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment