"Gantung wisel, tiup kuat-kuat"
Ibu bapa disarankan menggalakkan anak-anak membawa wisel apabila keluar rumah sebagai alat bantuan apabila mereka berada dalam keadaan bahaya.
Demikian saranan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato' Noor Rezan Bapoo Hashim sewaktu ditanya mengenai langkah Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menangani masalah pelajar hilang.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui pada 'Simposium Hak Kanak-kanak: Menjana Pemikiran' di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
"Saya sendiri sewaktu anak masih kecil menggalakkan mereka membawa wisel apabila mereka ingin keluar dari rumah. Gantung wisel di leher atau masukkan dalam kocek baju.Jika berlaku apa-apa terhadap mereka, tiup wisel kuat-kuat. Hingga ke tahap itu kita mengajar anak-anak, bagi menjaga keselamatan mereka,"katanya.
Mengenai kes kanak-kanak hilang, katanya kebanyakan kes kehilangan pelajar yang dilaporkan berlaku di luar waktu persekolahan.
"Jika di kawasan sekolah, sebaik mungkin kita bendung masalah seperti ini daripada berlaku. Guru-guru juga diingatkan supaya menjaga keselamatan mereka.
"Di sekolah, guru-guru dingatkan supaya mendidik pelajar apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dielakkan. Guru-guru digalakkan menasihati pelajar jika berada di luar kawasan sekolah supaya bergerak dalam kumpulan. Saya juga menggalakkan dalam kumpulan tersebut sekurang-kurangnya mempunyai dua orang pelajar lelaki," katanya.
Selain itu katanya, ibu bapa dan guru juga perlu menekankan kepada para pelajar supaya jangan mengikut orang yang tidak dikenali.
Tambahnya, jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti berlaku kekasaran terhadap pelajar oleh pihak luar dalam kawasan sekolah, perkara tersebut di luar kawalan pihak sekolah.
Tegasnya, guru-guru khususnya di sekolah rendah dinasihati agar meninggalkan kawasan sekolah sebaik sahaja memastikan tiada lagi pelajar sebaik sahaja sesi persekolahan tamat.
"Di setiap sekolah mempunyai guru bertugas. Dan guru bertugas ini yang perlu memastikan semua pelajar pulang dengan selamat. Guru yang bertugas perlu berdiri di luar pagar sekolah bersama pelajar.
"Jika didapati ibu bapa lewat menjemput anak-anak mereka, guru-guru boleh menghubungi ibu bapa melalui telefon. Selain itu terdapat juga pengawal keselamatan yang mengawal lalu lintas. Segala tindakan ini merupakan inisiatif pihak sekolah bagi memastikan para pelajar pulang dengan selamat,"katanya.
http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment