22 April 2008

Isteri Jamal tarik balik laporan

gambar : Jamal mengucup anaknya Ahmad Zaki yang turut berada di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Raja Pop Malaysia kembali mencetuskan kontroversi apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya melalui satu pesanan khidmat pesanan ringkas (SMS), April tahun lalu.

Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali dengan nama Jamal Abdillah, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suriyanilakma Abd. Kadir.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa mendatangkan ketakutan jenayah terhadap Fatimatu Zahra Samad, 25, melalui pesanan SMS daripada nombor 013-8088080 ke nombor 017-3887258 dengan menyatakan kata-kata berbunyi, 'tunggu dan lihat apa yang terjadi'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di alamat No. 22, Jalan Pauh 4/2 B, Seksyen 4, di sini pada pukul 7.44 pagi, 30 April 2007.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jamal yang tidak membuat rayuan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pegawai pendakwa, Cif Inspektor Adzlin Mohd. Amin memohon tempoh dua bulan bagi merujuk kes itu kepada pendakwa raya berikutan pengadu ingin menarik balik pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Jun depan bagi kes itu disebut semula.

Seorang pekerja Jamal telah hadir bagi menjamin penyanyi tersebut.

Terdahulu, di awal prosiding, Fatimatu Zahra memohon untuk menarik balik aduan saman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap Jamal tanpa sebarang tuntutan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan untuk kes itu ditarik balik dan dikompaun.

Pertuduhan itu menyebut Jamal didakwa mencederakan isterinya dengan cara menumbuk di bahagian pipi kanan dengan menggunakan tangan.

Difahamkan, punca Jamal mencederakan isterinya kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan jiran mereka, dan kini mereka tinggal secara berasingan.

Jamal tiba di mahkamah bersama-sama isteri dan anak lelakinya, Ahmad Zaki Yamani yang berusia setahun empat bulan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Jamal yang kelihatan bersahaja berkata, 'susah nak dapat kontroversi, lagi kontroversi lagi mahal'.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment