22 April 2008

Awas pendatang dari Lombok, larikan gadis tradisi yang diterima pakai mereka

Amalan bawa lari gadis dari daerah, negara lain - Amalan lumrah di Lombok

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Bukan satu kesalahan bagi kaum lelaki di Lombok melarikan anak gadis dari kawasan atau negara lain ke daerah ini sebaliknya telah menjadi amalan dan gaya hidup di pulau itu sejak sekian lama.

Malah amalan tersebut masih dipertahankan dan merupakan kaedah yang sering digunakan oleh kaum lelaki di sini untuk memperisterikan gadis yang diidamkan.

Ketua Desa Sakra, Lombok Timur, Bapak Sanusi Suwono, 58, berkata, cara tersebut iaitu melarikan anak gadis telah menjadi salah satu tradisi masyarakat di Lombok terutama membabitkan soal perkahwinan.

"Jika seseorang lelaki meminati gadis idamannya di daerah lain, maka dia boleh melarikannya ke kampung ini tanpa kebenaran sesiapa.

"Lazimnya, perkara ini berlaku apabila pasangan itu sudah terlalu menyintai di antara satu sama lain dan berhasrat untuk berkahwin," ceritanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ketua Desa ini berkata sebagai mengulas kisah Che Siti Nor Azreen (Azreen) 12, yang dilarikan oleh seorang lelaki dari Lombok, Tony Wijaya, 27 pada Disember 2007.

Azreen akhirnya bertemu semula bapanya, Che Ishak Che Kob, 47, 15 April lalu setelah empat bulan tinggal di Lombok dan berkahwin dengan Tony.

Kesudahan pertemuan tersebut, Azreen akhirnya bersetuju untuk pulang ke Malaysia bersama bapanya pada 18 April.

Selain Azreen, Penasihat Imigresen dan Tenaga Kerja Kedutaan Malaysia di Jakarta, Abdul Rahman Mohd. Noh turut mengesahkan sebanyak 12 kes melibatkan gadis bawah umur dilaporkan sejak 2005.

Tambah Bapak Sanusi lagi, jalan penyelesaian akhirnya akan dilakukan antara wakil kedua-dua pihak bagi mencari persetujuan agar perkahwinan boleh diteruskan atau tidak.

"Jika keluarga si gadis terima, maka perkahwinan boleh dijalankan tanpa sebarang halangan.

"Sekiranya ditolak, maka terserah kepada lelaki itu sama ada mahu menyerahkannya semula atau tetap meneruskan perkahwinan dengan berwalikan hakim tanpa restu mertuanya" ujarnya yang telah menjadi ketua desa sejak 15 tahun lalu.

Jelasnya, apa yang penting, gadis yang diinginkan mesti dilarikan dulu ke Lombok.

Bapak Sanusi berkata, pada dasarnya, amalan itu dianggap baik kerana boleh mencegah perbuatan sumbang antara kedua-duanya.

"Jika diperhalusi, ia lebih membawa kebaikan daripada keburukan, malah amalan begini bukanlah asing bagi kami di sini.

"Cuma timbul masalah apabila ia melibatkan orang luar yang tidak memahami budaya dan adat resam kami seperti yang berlaku kepada Azreen," katanya.

Jelasnya, banyak juga kes serupa yang seusia Azreen tetapi semuanya melibatkan rakyat Indonesia dan semuanya ditangani dengan aman.

"Ada juga beberapa wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki di sini tetapi kelihatannya mereka sangat bahagia hingga ke hari ini.

"Sebenarnya, tidak ada masalah akan timbul jika semua pihak setuju dan rela asalkan tidak terjebak kepada kemungkaran," katanya.

Menjawab soalan sama ada terdapat daerah lain yang mengamalkan tradisi seperti di Lombok, sambil menggelengkan kepala, dia berkata, "Saya tidak pasti kerana saya sendiri belum pernah keluar dari daerah ini."

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment