18 April 2008

Berita baik buat kakitangan kerajaan

Tuntutan Cuepacs jejas anak muda

Keputusan kerajaan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun seperti tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) diragui akan menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyifatkan keputusan perdana menteri menerima tuntutan itu semalam "amat menyedihkan" selepas kongres itu mengancam untuk memboikot sambutan Hari Pekerja.

Naib presiden PKPIM Khairul Anwar Shazali bimbang keputusan itu akan meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya lagi, 47 peratus daripada lebih 369,000 penganggur terdiri daripada pencari kerja buat pertama kali – yakni pemegang sijil SPM, STPM, pelajar matrikulasi, pemegang diploma dan graduan.

"Jelas bahawa hampir separuh daripada mereka terdiri daripada generasi muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, selepas pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ceupacs yang mewakili 1.2 juta kakitangan awam mendapat lima tuntutan yang diperjuangkannya.

Lima tuntutan itu:- menaikkan elaun perumahan daripada RM180 sebulan kepada RM230
- meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghapuskan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan kumpulan sokongan I dan II (Gred 1 hingga 40)
- memberikan semula elaun kritikal bagi kumpulan sokongan II yang ditarik balik pada Februari lepas
-melanjutkan umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun
-memperkenalkan kadar pencen mengikut perkhidmatan.

"Sekalipun dijangka kadar pengangguran akan menurun dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 dan Misi Nasional, namun masih tiada jaminan bahawa generasi muda diberi tempat atau mendapat tempat yang sesuai kerana daripada sejumlah 47 peratus pencari kerja kali pertama itu, 53 daripadanya cuma memiliki sijil SPM," kata Khairul Anwar lagi.

"Justeru, cadangan Ceupacs tersebut sekiranya diterima, akan menjejaskan peluang generasi muda untuk diserapkan sebagai kakitangan awam."

Tambahnya, lambakan kakitangan lama dalam perkhidmatan awam boleh menutup peluang pekerjaan generasi muda.

"Modal insan dalam kalangan generasi muda akan dipersia-siakan kerana tidak diserap dalam perkhidmatan awam pada usia muda untuk dilatih dan dipersediakan sebaiknya," katanya lagi.

PKPIM bagaimanapun bersetuju dengan empat lagi tuntutan yang diluluskan kerajaan.

Kerajaan menolak tuntutan saguhati RM2,000 sebagai bayaran menggantikan pemberian bonus.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment