19 April 2008

Abdullah mendapat sokongan Anwar, isu penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim

Anwar sokong langkah PM, Mukhriz enggan ulas.

SUBANG JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Katanya, keputusan itu adalah langkah wajar berikutan badan kehakiman negara sering berdepan pelbagai masalah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses keadilan di negara ini.

"Jika kerajaan melakukan perkara yang baik, kami sebagai pembangkang sentiasa menyokong keputusan itu dan dalam konteks ini badan kehakiman negara sebenarnya sudah lama memerlukan perubahan.

"Saya berharap reformasi yang dilakukan mdalam badan kehakiman bukan bersifat sementara, tetapi konsisten kerana itulah sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama penyokong PKR Subang Jaya, di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, pemberian ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988 adalah tepat kerana sudah lama mereka dizalimi oleh kepemimpinan negara. "Perkara berkaitan rasuah dan ketelusan perlu diperbaiki dan ini yang dituntut rakyat," katanya.

Ditanya pendiriannya yang berada dalam kabinet ketika pemecatan Tun Salleh Abas, beliau berkata, Salleh mengetahui pendirian sebenarnya ketika itu.

"Pendirian saya sudah saya jelaskan dan Salleh pun tahu sikap saya," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, enggan mengulas mengenai langkah kerajaan memulihkan semula badan kehakiman menerusi penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat ketika krisis pada 1988.

"Saya minta maaf... saya tak mahu komenpasal ini.Taksesuai saya komen dan ini juga bukan masa yang sesuai...minta maaf," katanya yang juga Exco Pemuda Umno, ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Kelmarin, badan kehakiman negara memasuki era baru apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi membantu menilai serta memilih calon menggunakan kaedah sistematik dan berwibawa.

Malah, bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat pada 1988, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment