12 April 2008

Ancaman meletak jawatan beramai-ramai memualkan

EGM : 26 AJK Umno Muar ancam letak jawatan

KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Malaysiakini.com melaporkan seramai 26 ahli jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Muar akan meletak jawatan beramai-ramai jika kepemimpinan bahagian itu gagal mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan krisis yang melanda Umno sekarang ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata, majoriti AJK bahagian telah mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.

Menurutnya, Umno bahagian mempunyai masa 14 hari untuk memanggil EGM tersebut tetapi sehingga hari ini, tiada surat dikeluarkan untuk mengadakanya.

Ekoran itu, kata beliau, pihaknya akan menunggu sehingga berakhir tempoh 14 hari tersebut (Isnin), sebelum membawa perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Sekiranya MT juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya hari ini.

Hassan yang juga anak kepada bekas pengerusi tetap Umno, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah berkata, Perkara 14.6 perlembagaan parti menyebut, sekiranya lebih dua pertiga AJK bahagian menyokong EGM diadakan, maka setiausaha bahagian mesti mengeluarkan notis untuk mengadakannya.

"Tetapi hingga sekarang tiada notis yang dikeluarkan. Kita akan tunggu hingga tamat tempoh 14 hari. Apabila setiausaha bahagian tidak hantar notis, MT kena ambil alih.

"Kita nak tengok sama ada MT berani atau tidak mengarahkan EGM diadakan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan meletak jawatan secara beramai-ramai," tambahnya.

Hassan juga mendakwa bahawa ketua bahagian berkenaan telah menghantar mesej SMS kepada kalangan 26 ahli AJK meminta mereka menarik balik desakan untuk mengadakan EGM tersebut.

Awal bulan ini, 84 daripada 133 cawangan Umno di bahagian itu bersetuju EGM diadakan untuk membincangkan beberapa isu tentang parti selepas prestasi buruk Umno dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Ia kemudiannya disokong oleh 26 daripada 33 ahli jawatankuasa bahagian yang menandatangani persetujuan meminta bahagian mengadakan EGM dalam tempoh 14 hari mulai 1 April lepas.

Isu yang akan dibincangkan termasuklah cadangan menghapuskan kuota pencalonan 30 peratus bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan agung Disember ini.

http://www.harakahdaily.net

1 comment:

  1. eloklah letak jawatan daripada menyertai UMNO sebab PRU14 nanti UMNO sudah dibubarkan kerana kalah teruk pada PRU13 bila MCA & MIC sepakat memberi sokongan pada Pakatan Rakyat. Parti UMNO akan jadi parti Tapowear selepas PRU13 sebelum dikuburkan....

    ReplyDelete