PULAU PINANG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon yang dianggapnya merupakan pemimpin terbaik yang berjaya menguruskan negeri dengan baik.
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata Pulau Pinang di bawah pimpinan Koh menjadi contoh terbaik dalam aspek pengkorporatan khusus dalam pengurusan belakan air.
"Beliau juga merupakan contoh terbaik masyarakat Cina. Tahniah kepadanya kerana selama pentadbirannya, beliau telah berjaya memimpin Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, hari ini.
Beliau yang ditanya mengenai pentadbiran Koh selama 18 tahun memerintah Pulau Pinang, berkata Koh telah menerajui negeri ini dengan penuh dedikasi.
Wan Azizah mengucapkan tahniah kepada Koh yang tenang melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 25 Okt 1990 kepada Lim.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Pulau Pinang yang berani membuat perubahan pada pilihan raya umum kali ini.
Menyentuh mengenai jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Azizah berkata: "Ia antara pemimpin-pemimpin negeri dan saya akan akurnya dengannya."
Terdapat laporan kemungkinan bahawa jawatan tersebut diisi oleh Setiausaha Perhubungan PKR negeri, Abdul Malik Abdul Kassim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Maung.
Menyentuh mengenai janjinya untuk meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh yang dipegangnya sejak 1999, bagi memberi lalun kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya kecil, Wan Azizah berkata beliau akan menyerahkan keputusan itu kepada para pengundi.
"Ini satu pilihan, segalanya terpulang kepada pengundi, saya mewakili mereka dan apa juga keputusan mereka, saya terima," katanya.
Ditanya sama ada keputusan itu nanti akan menghalangnya untuk bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata: "Ia tidak menjadi hal.". BERNAMA
No comments:
Post a Comment