Malaysiakini : BN merudum, Radzi dipersalahkan
Sekumpulan pemimpin Umno Perlis hari ini mendesak setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan jawatannya susulan krisis yang berlanjutan di negeri Indera Kayangan dan kekalahan calon Umno di seluruh negara.
Krisis itu yang muncul secara terbuka hujung tahun lepas menjadi makin tegang dan tidak menentu menjelang saat-saat akhir hari penamaan calon 24 Februari lalu.
Kini krisis itu menimbulkan konflik baru apabila kerajaan negeri gagal dibentuk walaupun BN Perlis mengulangi kemenangan besar dalam pilihanraya umum Sabtu lepas.
Dalam sidang media mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, ketua penerangan Umno Perlis Datuk Hashim Suboh mendakwa Radzi campurtangan dalam proses penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan Menteri Besar.
Beliau, yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kangar, mendakwa Radzi mempengaruhi pihak istana agar tidak mengeluarkan watikah pelantikan semula Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar.
"Radzi juga mempengaruhi Perdana Menteri supaya tidak melantik Shahidan sebagai menteri besar,” dakwa Hashim lagi.
Hashim mendakwa mewakili badan perhubungan Umno Perlis serta mendapat restu Shahidan dan sokongan timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Zahidi Zainal Abidin, ketua wanita negeri Datuk Mastika Junaidah Hussin, ketua pemuda negeri Datuk Rozabil Abdul Rahman, dan ketua puteri Rozienna Ahmad.
Selain Rozabil, hadir sama di sidang media itu adik Shahidan, Datuk Ismail Kassim yang menang di parlimen Arau.
Restu Shahidan
Menurut Hashim lagi, pucuk pimpinan Umno negeri itu telah menemui presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perkara tersebut.
"Kami menemui perdana menteri di Seri Perdana pada hari Ahad dan Isnin lalu untuk meminta Abdullah menggantikan Radzi dengan orang lain yang lebih berwibawa.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini kami belum menerima sebarang berita mengenai perkara tersebut," katanya.
Hashim menambah, Shahidan merestui beliau mengadakan sidang media tersebut.
"Sehingga jam 5.15 petang ini, isu pelantikan menteri besar Perlis yang baru belum diselesaikan kerana campur tangan Radzi.
"Kita dimaklumkan (bahawa) perdana menteri telah bersetuju sepenuhnya supaya Shahidan kekal menerajui kepimpinan kerajaan negeri Perlis," kata Hashim lagi.
Menurutnya, Umno Perlis kecewa kerana tindakan Radzi menyebabkan kemelut ini belum dapat diselesaikan.
Hashim mendakwa, Radzi yang juga ahli parlimen Kangar, menjadi antara punca utama kekalahan Umno di lima negeri lain.
Ketewasan besar ini kerana, katanya, Radzi lebih memfokuskan kepada masalah remeh-temeh di Perlis sedangkan tanggungjawabnya sebagai setiausaha agung meliputi seluruh negara.
Antaranya, kata Hashim, masalah pengurusan parti yang lemah termasuk banyak poster parti yang tidak sampai ke peringkat bahagian-bahagian di seluruh negara.
"Radzi merupakan setiausaha agung Umno yang paling lemah pernah dimilik oleh parti ini.
Punca kekalahan calon
"Kita mendesak Umno di tempat lain agar bersama kita mendesak supaya perdana menteri menggantikan Radzi dengan orang lain.
"Kita (Umno Perlis) menyokong Abdullah walau apapun yang terjadi," katanya lagi.
Hashim berkata, Radzi harus dipertanggungjawabkan terhadap kemelut dan kekalahan calon-calon Umno di seluruh negara.
Katanya, Radzi sepatutnya sedar mengenai perkara itu, dan mengambil tindakan meletak jawatan sebelum orang lain menuding jari kepadanya.
Sementara itu, Ismail pula berkata, campur tangan Radzi bermula sejak sebelum hari penamaan calon lagi.
Malah, katanya, Radzi bertindak memilih sendiri senarai calon parlimen Arau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah parlimen berkenaan.
Radzi juga, dakwa Ismail lagi, mengumumkan calon-calon yang akan bertanding sedangkan Shahidan selaku pengerusi Umno negeri yang sepatutnya berbuat demikian.
"Calon yang diumumkan oleh Radzi tidak muncul pada hari penyerahan watikah untuk jadi calon dan mereka juga bukanlah calon dalam senarai Shahidan," katanya lagi.
- http://malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment