Malaysiakini : PAS tetap tuntut p'raya bebas, adil
PAS tetap akan menuntut pilihanraya yang bebas dan adil walaupun keputusan Sabtu lalu terbaik buat parti itu, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Parti itu bersama PKR mengekalkan Kelantan dengan majoriti lebih besar, 39 daripada 45 kerusi, selain merampas Kedah.
Ia juga memperolehi jumlah kerusi yang penting di Selangor dan Perak dalam pilihanraya 8 Mac.
Dalam kenyataan ringkas hari ini, Abdul Hadi berkata PAS akan tetap bersama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mereformasi sistem tersebut yang didakwanya "pincang dan berat sebelah."
Sehari sebelum pengundian, PAS mendakwa 190 buah bas dan 2,000 kereta yang membawa "pengundi hantu" bergerak pantai timur, khususnya ke Terengganu dan Kelantan, untuk memastikan kemenangan BN.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali mendakwa, projek membawa masuk pengundi-pengundi ini dijalankan oleh sebuah syarikat agensi pelancongan yang mendapat kontrak daripada sebuah yayasan milik kerajaan negeri itu.
Sementara pada hari pengundian, ratusan penyokongnya menahan beberapa buah bas dekat sebuah pusat pengundian, tidak jauh dari masjid Rusila, Marang sehingga menyebabkan 20 orang ditahan polis, termasuk anak sulung Abdul Hadi.
Abdul Hadi menambah, PAS dan Bersih akan membuat penilaian terhadap pilihanraya umum ke-12 dan mendedahkan kepada umum hasil siasatan tersebut dalam masa terdekat.
Pada hari penamaan calon, PAS juga mempertikaikan peraturan duti setem yang didakwanya telah dimansuhkan di saat-saat akhir untuk membantu calon BN.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menafikan telah memansuhkan peraturan tersebut, yang diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah beberapa hari sebelum penamaan calon 24 Februari.
Langkah SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di jari pengundi juga menyebabkan PAS dan parti-parti pembangkang curiga pada suruhanjaya tersebut.
PAS di Terengganu, negeri presiden dan beberapa pemimpin kanan parti itu bertanding, tidak menunjukkan sebarang kemajuan besar, berbeza sama sekali dengan trend pengundian di pantai barat.
Sokongan pengundi kepada BN di negeri itu masih lagi padu seperti 2004, merosot hanya 1.2 peratus, berbanding Kelantan (5.8 peratus), Kedah (12.7), Pulau Pinang (17.5), Perak (12.6), Selangor (20.8) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20.4).
Di Negeri Sembilan dan Johor, yang menyaksikan kemenangan tiga kerusi DUN kepada PAS, undi BN masing-masing merosot 14.5 dan 14 peratus.
PAS juga menegaskan pendiriannya untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP di empat lagi negeri yang jatuh ke tangan pembangkang hujung minggu lepas.
"PAS akan bersama-sama menyertai kerajaan campuran di negeri-negeri dengan PKR dan DAP dan bersedia melantik dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri-negeri yang diterajui oleh ketiga-tiga parti itu," kata Abdul Hadi.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah menyokong calon PAS, termasuk bukan Melayu.
- http://malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment