10 March 2008

Tujuh calon muslimat PAS menang

Tujuh orang calon muslimat PAS berjaya memenangi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu.

Tiga daripada mereka menang kerusi parlimen, iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja - Selangor), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa - Wilayah Persekutuan), Hajah Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang, Kelantan).

Manakala empat orang lagi menang kerusi DUN, iaitu Hajah Wan Ubaidah Omar (Kijang - Kelantan), Dr Halimah Ali Abdullah (Selat Klang), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas, Kelantan) dan Aishah Ghazali (Merbau Pulas, Kedah).

Bagaimanapun, enam lagi calon Muslimat tewas, termasuk dua orang di kerusi parlimen - iaitu Najihatussalehah Ahmad (Parit, Perak), Siti Mariam Naam (Jempol, Negeri Sembilan).

Manakala empat lagi tewas di kerusi DUN, iaitu Nuridah Mohd Salleh (Tahan, Pahang), Azizah Khatib Mat (Luit, Pahang), Dr Rohani Mutalib (Jitra, Kedah) dan Asnah Hashim (Bayan Lepas, Pulau Pinang).

Asnah hanya tewas dengan majoriti kecil 399 undi, berbanding dengan majoriti 5,371 undi yang diperolehi BN pada 2004.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Aiman Athirah Al Junid berkata, pilihanraya umum ke-12 memberikan impak maksima sepanjang “kehadiran” mereka di khalayak pengundi.

"Kesan penerimaan rakyat dapat kita lihat melalui jumlah undi yang diperolehi oleh calon Muslimat yang menang dan kemampuan calon Muslimat yang tewas menurunkan majoriti calon," katanya.

Katanya, ini menunjukkan bahawa rakyat semakin yakin dan berani memberikan mandat politik kepada calon wanita Barisan Alternatif khususnya dari kalangan muslimat PAS.

DMPP, katanya, berharap wakil rakyat muslimat PAS yang baru dipilih oleh 'kuasa rakyat' dapat memainkan peranan sebaik dan secemerlang mungkin.

- malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment