BASRA 29 Mac – Lapan orang maut dalam serangan udara terbaru tentera penceroboh diketuai Amerika Syarikat (AS) di bandar pelabuhan ini awal hari ini.
Sementara itu, pertempuran antara askar dengan militia Syiah berterusan untuk hari kelima berturut-turut, hari ini.
Lebih 230 orang terbunuh dalam pertempuran sengit antara pejuang Syiah dengan askar kerajaan Iraq dan tentera penceroboh selepas Perdana Menteri, Nuri al-Maliki melancarkan operasi untuk membanteras “kumpulan penjenayah” di sini pada Selasa lalu.
Pertempuran juga merebak ke beberapa bandar lain termasuk Bandar Sadr di pinggir ibu negara, Baghdad.
Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan hampir 500 lagi cedera dalam pertempuran di Bandar Sadr sejak empat hari lalu, kata sumber kesihatan Iraq.
Menurut seorang jurugambar AFP di sini, sekurang-kurangnya lapan orang termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh dan beberapa buah rumah musnah apabila beberapa buah bom digugurkan ke atas kawasan kediaman Al-Baath di barat laut Basra awal hari ini.
Saksi berkata, serangan udara itu dilancarkan oleh pesawat perang tentera penceroboh dan beberapa orang lagi dikhuatiri terkorban dalam pengeboman itu.
Tentera Britain di Basra dan tentera AS tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai serangan itu.
Tentera penceroboh pimpinan AS terlibat dalam pertempuran buat kali pertama malam tadi apabila pesawat perang mereka menggugurkan beberapa buah bom ke atas kedudukan militia Syiah di Basra.
“Tentera kami memiliki keupayaan yang tidak ada pada angkatan bersenjata Iraq dalam operasi sebegini.
“Secara khususnya, kami memberikan bantuan udara di atas bandar ini kerana tentera udara Iraq belum memiliki jet yang pantas,” kata jurucakap tentera Britain, Mejar Tom Holloway.
Sementara itu, pertempuran turut meletus di kawasan Syiah lain di Iraq sejak Selasa lalu.
Selain Bandar Sadr dan Khadimiyah yang merupakan kubu-kubu kuat militia Tentera Mahdi pimpinan ulama radikal, Moqtada al-Sadr, bandar Kut dan Hilla di tengah negara ini dan Nasiriyah di selatan turut digegarkan oleh pertempuran sengit.
Nuri berikrar untuk meneruskan operasi bersenjata ke atas kumpulan bersenjata Syiah di bandar ini sekalipun tentera kerajaan menghadapi tentangan hebat.
Semalam Nuri memberi tempoh hingga 8 April ini untuk penduduk Basra menyerahkan senjata berat dan sederhana dalam usaha memutuskan bekalan senjata kepada gerila pemberontak.
Presiden AS, George W. Bush menyifatkan keganasan itu sebagai “detik penentuan” bagi Iraq dan ujian penting bagi kerajaan Baghdad ke arah keamanan.
– AFP
No comments:
Post a Comment