Gong pemilihan UMNO sudah dipalu.Yang pasti antara sekarang hingga ke 9 Oktober nanti bila 191 UMNO Bahagian di seluruh negara mula bersidang calon-calon yang mengintai jawatan sudah perlu get set untuk mendapatkan pencalonan.
Setiap pemilihan sebelum ini fokusnya sentiasa bertumpu kepada jawatan tiga Naib Presiden UMNO dan 25 barisan Majlis Tertinggi UMNO.
Sepanjang enam bulan akan datang ini setiap gerak langkah bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah tentunya mencuri perhatian setelah beliau mengumumkan hasrat untuk berentap jawatan Presiden UMNO.
Mampukah beliau mendapat pencalonan ? Itu satu teka teki menarik menjelang bahagian-bahagian UMNO mula bersidang nanti.
Halangan yang perlu ditempoh oleh Ketua UMNO bahagian Gua Musang ini untuk membolehkan beliau bertanding semasa pemilihan yang akan berlangsung pada Perhimpunan Agung UMNO bermula 16 Disember nanti tentunya kuota pencalonan jawatan Presiden UMNO.
Angkanya bukan kecil iaitu 30 peratus dari 191 UMNO Bahagian.Ini bermakna beliau perlu dapat 58 pencalonan bahagian.
Begitu juga siapa yang berhajat nak langgar Datuk Seri Najib Tun Razak kena berkira-kira mampukah dia mendapat 20 peratus pencalonan bahagian iaitu 39.
Setakat ini sudah ada suara-suara termasuk yang secara rasmi dibuat oleh mesyuarat khas UMNO bahagian Cheras agar kuota pencalonan ini dihapuskan.
Pemansuhan sistem kuota ini memerlukan satu Perhimpunan Agung Khas bagi meminda perlembagaan parti sebelum cawangan-cawangan UMNO bermesyuarat mulai 17 Julai ini.
Hajat dihati kebanyakan mereka yang mahu sistem kuota dihapuskan ialah memastikan pemimpin atasan parti yang teruji dan diketahui kekuatan sebenarnya menerusi pertandingan tanpa sekatan sistem kuota itu yang hanya memerlukan dua pencalonan sahaja.
Demokrasi dalam UMNO masih dilihat ada cacatnya dengan sistem kuota itu yang diperkenalkan pada zaman pentabiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setelah pertandingan bersejarah Team A yang diketuainya dan Team B pimpinan Tengku Razaleigh pada tahun 1987.
Talian hayat seumpama itu bagi pemimpin dikira sudah outdated lebih-lebih lagi dari sudut pandangan generasi muda yang berfikiran terbuka.
Alasan pertandingan di peringkat Presiden dan Timbalan Presiden boleh mencetuskan perpecahan sentiasa dipertikaikan apa lagi melihat tiga rakan komponen Barisan Nasional iaitu MCA,MIC dan Gerakan tidak mengenakan sistem kuota pencalonan dalam pemilihan jawatan.
Sebagai ahli politik veteran Tengku Razaleigh sendiri tahu beliau sekali lagi kena ‘ langgar tembok’ seperti pada pemilihan tahun 2004 dimana hanya bahagiannya sendiri Gua Musang sahaja yang beri pencalonan jika BN muncul cemerlang dalam pilihanraya umum baru ini.
Sehingga mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Khamis seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang akhbarnya sistem pemilihan lama tetap digunapakai.
Ini bermakna sistem kuota pencalonan masih berkuatkuasa.
Namun apa yang agak menarik ialah tidak ada sebarang keputusan seperti menjelang pemilihan tahun 2004 yang menetapkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak boleh ditandingi.
Malah Abdullah yang menjawab soalan para wartawan istihar beliau sedia dicabar.
Para pemerhati politik menilai dalam keadaan sekarang sebarang keputusan rasmi melarang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak boleh ditandingi pasti akan backfire .
“Kalau keputusan macam tu …jawabnya macam menyimbah minyak ke dalam api,”kata seorang pemerhati.
Apapun peta politik UMNO sudah bergegar dilanda tsunami pilihanraya 8 Mac.
Parti itu kini dilihat sebagai seekor singa luka yang sedang mencari penawar untuk merawat diri.
Mahu tak mahu ini semua mencetuskan ruang dan peluang untuk sesiapa menyelit masuk.
Selain jawatan Presiden ,persaingan merebut jawatan Naib Presiden kali ini dijangka pasti tidak kurang gamatnya.
Bagi jawatan ini seorang calon itu perlu mendapat 15 peratus pencalonan bahagian-bahagian.
Kini dua penyandang jawatan itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Satu lagi jawatan kosong setelah Tan Sri Isa Samad dikenakan tindakan disiplin kerana politik wang tidak lama selepas pemilihan tahun 2004.
Ikut ceritanya sebelum pilihanraya umum baru ini ada beberapa orang yang disebut-sebut mungkin cuba nasib.
Antaranya ialah Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Khaled Nordin,Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi,Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Dua saingan yang awal-awal dikira TKO ialah Dr Khir yang kehilangan jawatan Menteri Besar Selangor kerana negeri itu ditawan pembangkang.Dr Jamaluddin yang sebelum ini Menteri Sain Teknoloji dan Inovasi sudah patah sayap setelah digugurkan dari kabinet.
Zahid Hamidi pula yang sebelum ini Timbalan Menteri Penerangan kini sudah ada lesen besar setelah dilantik jawatan Menteri Dijabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini para pemerhati politik menilai beliau akan melalui jalan sukar untuk cuba nasib kerana belum pernah sesiapa berjawatan Timbalan Menteri bertanding jawatan itu.
Khaled juga boleh meneruskan hasratnya setelah dilantik semula ke kabinet dengan jawatan Menteri Pengajian Tinggi.
Cuma masalah dengan Khaled ialah faktor Johor.Ini kerana Muhyiddin juga dari Johor.
Ini belum lagi Hishamuddin yang dikatakan mungkin meninggalkan Pergerakan Pemuda setelah dua penggal mengetuainya untuk menapak ke jawatan lebih tinggi.
Dalam pada itu ada juga yang jolok Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya cuba nasib sekali lagi.
Beliau yang dulunya kena terbang sana sini dan jarang lekat dalam negeri sebagai Menteri Luar kini boleh menumpukan perhatian untuk bertanding dengan jawatan barunya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Jangan lupa Datuk Shahrir Samad yang gagal dalam cubaanya pada tahun 2004 kini sudah boleh berdiri sama tinggi dengan rakan-rakannya yang lain bila dipilih masuk kabinet dengan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dari Selangor pula ketiadaan Dr Khir besar kemungkinan akan diisi oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang pernah tiga penggal jadi Naib Presiden UMNO.
Walaupun kebelakangan ini tidak pernah menunjukkan tanda-tanda nak cuba sekali lagi bertanding jawatan itu ,Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu sudah mendapat ‘ nafas baru’ bila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Ini ditambah pula dengan lantikannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor mengantikan Dr Khir yang memutuskan hendak melepaskan jawatan itu.
Dari negeri-negeri lain ada juga cakap-cakap kemungkinan Datuk Seri Adnan Yaakob dari Pahang mungkin masuk.
Datuk Seri Musa Aman dari Sabah yang bagi banyak kerusi kepada BN dalam pilihanraya umum kali ini juga dilihat salah seorang calon yang boleh mencetuskan saingan untuk jawatan nombor tiga dalam parti itu jika beliau juga turut nak cuba nasib.
http://www.agendadaily.com
No comments:
Post a Comment