14 March 2008

Tahanan ISA, Pilihan Rakyat

Mano dan 13 bekas tahanan ISA menang p'raya

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengucapkan tahniah dan syabas kepada tahanan dan bekas tahanan ISA yang telah memenangi kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu .

Sehubungan itu, GMI berharap mereka akan bersuara lantang membantah apa juga perundangan dan akta yang zalim, khususnya ISA di parlimen dan DUN.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata 14 daripada 17 calon yang bertanding, berjaya memenangi di kawasan mereka tandingi.

"Kemenangan mereka merupakan satu kemenangan yang besar kepada perjuangan GMI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini selari dengan tajuk kenyataan media GMI pada 5 Mac 2008 - beberapa hari sebelum hari mengundi yang meminta pengundi "menyokong calon yang menolak ISA, dan tolak calonyang menyokong ISA".

Antara yang bertanding dan menang adalah N Manoharan (foto) di Kota Alam Shah, Saari Sungib (Hulu Kelang), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Nasir Hashim (Kota Damansara), Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Lim Guan Eng (Bagan), Karpal Singh (Bukit Gelugor), Tan Seng Giaw (Kepong), Tian Chua (Batu), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Kok Wai (Cheras), Mahfuz Omar (Pokok Sena), N Gobalakrishnan (Padang Serai, Kedah) dan Ibrahim Ali (Pasir Mas).

Manakala calon yang kalah ialah Dr Badrul Amin Bahrom (parlimen Sabak Bernam dan DUN Kuang), Mohamad Sabu (Kuala Teregganu) dan Ibrahim Ali (Pasir Mas).

Gesa bebaskan Mano

"GMI amat berbangga dengan keberanian, semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh mereka, khususnya Saudara Manoharan yang kini masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Beliau telah ditahan tanpa bicara dan tanpa peluang pembelaan sejak 13 Disember 2007 bersama dengan empat orang lagi pemimpin Hindraf," katanya.

Syed Ibrahim berkata, kemenangan tahanan dan bekas tahanan ISA, menunjukkan rakyat menolak kezaliman penahanan tanpa bicara dan menuntut keadilan untuk semua tahanan mendapat hak dibicara di mahkamah terbuka dan hak dianggap sebagai tidak bersalah sehingga diputuskan oleh mahkamah.

"GMI mendesak kerajaan pusat Barisan Nasional supaya mendengar mesej rakyat yang jelas ini dan membebas atau mendakwa tahanan-tahanan di mahkamah. Adalah juga jelas bahawa rakyat menuntut ISA dimansuhkan," katanya.

GMI juga, katanya, mendesak kerajaan untuk menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dan pengundi di DUN Kota Alam Shah dan membebaskan segera M Manoharan segera.

"Beliau mestilah diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab beliau memberi khidmat kepada rakyat yang memilihnya sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 21 (1) dan (3) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948," katanya.

Perkara 21 (1) berbunyi: "Setiap warganegara adalah berhak untuk mengambil bahagian di dalam urusan pemerintahan negara, samada secara langsung atau menerusi wakil pilihan bebas mereka".

Bersuara lantang

Perkara 21 (3) pula berbunyi: "Iltizam rakyat akan dijadikan asas pemerintahan kerajaan; iltizam ini akan dizahirkan dalam pilihanraya yang berkala dan sah menerusi hak memilih yang saksama dan sejagat, dan akan diadakan secara undi rahsia atau dengan prosedur pengundian yang bebas".

Syed Ibrahim berkata, GMI melihat penafian hak rakyat untuk diwakili oleh wakil pilihan mereka dalam pemerintahan negeri adalah satu pencabulan hak asasi yang besar dan mesti diberikan perhatian.

"GMI berharap kemenangan tahanan dan bekas tahanan ISA yang disokongi oleh parti masing-masing, akan menandakan kelantangan suara membantah apa juga perundangan dan akta yang zalim, khususnya ISA di parlimen dan DUN.

"Ini natijah daripada kebangkitan suara rakyat. Wakililah rakyat dengan sebaik-baiknya tak kira bangsa, kaum atau agama, lebih-lebih lagi mereka yang dizalimi.

"GMI meletakkan harapan tinggi bahawa nasib tahanan dan keluarga tahanan ISA dapat terus dibela. Mereka merupakan mangsa politik. Kini sudah ada tahanan yang dilanjutkan tempoh penahanan untuk dua tahun lagi setelah cukup 6 tahun. Masih ramai yang menunggu nasib yang sama.

"GMI berharap 15 tuntutan pilihanraya umum yang dikeluarkannya pada 27 Februari 2008 akan mendapat perhatian serius parti, ahli parlimen dan Adun yang berkenaan dan dijadikan sebagai landasan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment