Eksklusif: Kisah ADUN-ADUN PKR, 'dikurung' tiga hari
"JANGAN cerita sampai Tan Sri angkat sumpah," kata kawan terbabit. Sekali dengar seram sejuk juga, kisah semua ADUN PKR Selangor 'dipaksa' bertapa di Hotel Holiday Villa Subang sementara menunggu surat watikah perlantikan Menteri Besar baru Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Selain 'disembunyikan', semua ADUN-ADUN terbabit dikumpulkan untuk mereka bermuhasabah dan berbincang sesama sendiri."
Menurut sumber tadi, langkah tersebut adalah langkah berjaga-jaga yang diarahkan sendiri oleh Khalid Ibrahim. Kehilangan ADUN-ADUN terbabit bagaimanapun gagal dihidu media dan orang ramai.
Cuma beberapa rakan merasa pelik kerana bayang mereka hilang begitu sahaja selepas menang besar dan menawan negeri Selangor. Risik-risik KLpos.com kemudiannya menemui jawapan di manakah semua ADUN-ADUN terbabit 'bersembunyi'.
"Jangankan kata media, keluarga pun tidak tahu," kata salah seorang ADUN yang sempat dihubungi KLpos.com.
Sementara itu, menurut salah seorang perancang 'pertapaan' tersebut. Selain 'disembunyikan', semua ADUN-ADUN terbabit dikumpulkan untuk mereka bermuhasabah dan berbincang sesama sendiri.
"Kita percaya ADUN tak lari, cuma langkah berhati-hati saja, lagipun bagus juga kumpulkan semuanya setempat, supaya senang kalau hendak bincang," katanya menjawab pertanyaan KLpos.com apakah langkah terbabit kerana ura-ura lompat parti.
Kini dengan selamatnya Khalid Ibrahim angkat sumpah, maka semua ADUN-ADUN tadi pun menghabiskan 'pertapaan' tersebut.
Seorang ADUN yang terbabit dengan kejadian tersebut mengesahkan kepada KLpos.com perkara tersebut. Katanya, pengalaman tiga hari tersebut amat manis pada diri beliau.
"Kami mengambil kesempatan tersebut untuk berbincang mengenai strategi yang hendak digunakan bagi memastikan negeri Selangor terus maju.
"Tiga hari tersebut kami berdebat dan berhujah mengenai hala tuju baru Selangor di bawah PKR, PAS dan DAP" katanya.
Menurutnya, perdebatan terbabit dari soal pembangunan kawasan, masalah PBT, sehinggalah soal kemajuan kampung-kampung menyebabkan beliau sedar tanggungjawab berat yang dipikulnya kini.
"Tiga hari tersebut kami berdebat dan berhujah mengenai hala tuju baru Selangor di bawah PKR, PAS dan DAP" kata seorang ADUN
"Kami semua tidak sabar untuk memulakan khidmat kepada masyarakat, kami ingin membalas kepercayaan pengundi kepada PKR dan pembangkang lain di Selangor ini," katanya.
KLpos.com sebelum ini menyiarkan desas-desus bahawa beberapa ADUN PKR di Selangor dan Perak sedang diburu supaya mereka berpaling tadah. Terutamanya di Perak yang menyaksikan BN hanya memerlukan dua kerusi untuk membentuk kerajaan.
Namun, KLpos.com difahamkan terdapat satu persefahaman dibentuk oleh pemimpin utama BN dan BA, supaya masing-masing mengekalkan status qou yang ada. Dalam kata lain, ADUN BN tidak dijemput untuk menyertai BA dan begitu juga sebaliknya.
Kisah lompat parti dan kurung mengurung ini bukan baru dalam sejarah pembentukan kerajaan negeri di Malaysia. Pada tahun 1990 dan 1995, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan pernah melakukan hal yang sama.
Khabarnya semua ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) masa itu dikurung berhari-hari di rumahnya sementara menunggu watikah perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri.
Pada dekat 60-an, kerajaan PAS Terengganu tumbang apabila empat ADUNnya melompat parti dengan memilih Umno dibawah kepimpinan Tan Sri Ibrahim Fikri.
- http://klpos.com
No comments:
Post a Comment