08 March 2008

SPR jangka 75 peratus keluar mengundi

Rakyat Malaysia keluar mengundi hari ini di 7,950 pusat pengundian di seluruh negara untuk memilih wakil rakyat bagi 214 kerusi Parlimen dan 501 kerusi di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Senarai 10.9 juta pengundi berdaftar layak mengundi hari ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pada keseluruhannya, Suruhanjaya Pilihanraya menyediakan 21,822 tempat mengundi, yang kebanyakannya membabitkan sekolah, dewan pelbagai guna dan rumah panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula akan mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Pekan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjangka kira-kira 75 peratus pengundi berdaftar akan membuang undi hari ini.

Pada hari penamaan calon 24 Februari lalu, Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding lapan kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding manakala pembangkang memenangi satu kerusi DUN menerusi PAS di Kijang, Kelantan.

BN menang kerusi Parlimen Selangau, Kanowit, Tanjung Manis, Kapit and Igan (Sarawak), Kalabakan dan Pensiangan (Sabah), dan Pengerang (Johor) manakala kerusi DUN melibatkan Bugaya dan Gum Gum (Sabah), dan Sementa (Selangor).

Calon-calon dari 14 parti komponen BN bertanding di semua 214 kerusi Parlimen, PKR (97), PAS (66) dan DAP (47).

Keputusan pilihanraya kali ini dijangka dapat diumumkan seawal jam 8.30 malam ini.

Semua tiket perjalanan terutamanya ke Pantai Timur telah habis dijual. Penjual tiket di Puduraya melaporkan jualan tiket pada musim pilihanraya ini lebih laris daripada musim perayaan.

Orang ramai membuat tempahan tiket untuk balik kampung sejak Perdana Menteri membubarkan parlimen pada 13 Februari lalu.

- http://malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment