Ahmad Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Terengganu
Gambar : Dato' Seri Tuan Guru bersalam dengan para hadirin di majlis istiadat angkat sumpah MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Datuk Ahmad Said hari Ahad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dan sekaligus mengakhiri krisis pelantikan Menteri Besar negeri ini yang berlarutan sejak 10 Mac.
Kesemua 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), yang sebelum ini tidak menyokong pelantikannya serta bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, yang dinamakan sebagai Menteri Besar oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, menghadiri majlis angkat sumpah hari ini.
Istiadat di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini, tiga hari selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.
Selepas melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, Ahmad, 51, yang juga Adun Kijal kemudian menandatangani surat pelantikannya.
Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.
Semua Adun Terengganu termasuk daripada parti pembangkang menghadiri majlis hari ini. Dengan berpakaian baju Melayu serba hitam, Menteri Besar baru itu kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.
Bagaimanapun sebelum beredar meninggalkan majlis, Ahmad kelihatan terharu apabila beliau bersalaman dengan Idris dan memeluk bekas Menteri Besar itu dalam keadaan penuh emosi.
Beliau turut bersalaman dengan Adun yang menghadiri majlis itu.
Sebanyak 22 Adun dari BN sebelum ini membantah pelantikan Ahmad dan beberapa orang daripada mereka bersedia meletakkan jawatan sebagai Adun jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua. Bagaimanapun kesemua mereka akur dengan keputusan MT Umno, untuk memperakui dan menyokong pelantikan Ahmad oleh MPPR.
Selepas ini, satu lagi majlis angkat sumpah akan diadakan untuk anggota Exco kerajaan negeri, apabila Ahmad selesai menyediakan senarai pelantikan dalam masa kira-kira 10 hari lagi.
BN menang 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala selebihnya dimenangi oleh PAS.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment