08 March 2008

"Saya tidak kata mereka dusta...": Setiausaha SPR

PETALING JAYA: Kurang 24 jam sebelum peti undi dibuka, pelbagai pihak, terutama tuan punya blog berunsurkan politik terus menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa kononnya wujud pengundi tidak layak yang mereka takrifkan sebagai "pengundi hantu" dengan memberikan bukti kewujudan banyak nama serupa dengan tahun kelahiran yang sama dalam Daftar Pemilih Induk yang akan digunakan pada pilihan raya ke-12 ini.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor yang mengaku terpaksa melayan ratusan panggilan telefon sehari mengenai isu itu sejak akhir-akhir ini, tegas menafikannya.

"Saya tidak kata itu dusta, tetapi terpulanglah kepada anda untuk menilainya," katanya menjawab soalan sama adakah golongan yang mendakwa banyak pendaftaran bertindan sengaja berbohong.

Katanya, jika seseorang itu membuat penelitian pada Daftar Pemilih, sudah pasti terdapat banyak nama yang serupa, jantina yang serupa dan dilahirkan pada tahun yang serupa tetapi berdaftar di tempat berlainan.

"Ini memanglah berlaku kerana di Malaysia ramai orang mempunyai nama yang sama dan dilahirkan pada tahun yang sama. Sebagai contoh, semasa saya berada di Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kelantan pada tahun 1969, terdapat tiga orang yang mempunyai nama yang serupa dengan saya.

"Malah kekeliruan ini menyebabkan saya telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran bagi kertas Sains 1 yang sepatutnya diduduki oleh seorang lagi Kamaruzaman Mohd Noor. Oleh kerana kertas itu lebih mudah daripada Sains 2 yang sepatutnya saya duduki dan kini terpaksa diambil oleh rakan yang seorang lagi itu, saya mendapat keputusan cemerlang, sementara rakan saya itu gagal.

"Sehingga hari ini, rakan saya itu serta keluarganya tidak pernah memafkan saya atas kekeliruan yang tidak disengajakan itu, semata-mata kerana kami mempunyai nama yang sama dan belajar di kelas yang sama," katanya.

Kamaruzaman menjelaskan, pengenalan penting pada daftar pemilih bukan pada nama, tetapi pada nombor kad pengenalan, kad kuasa polis atau kad pengenalan tentera.

Pengerusi badan pemerhati pilihan raya Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) Abdul Malek Hussin beberapa hari lalu mempersoalkan kewujudan 46 pengundi yang berdaftar atas nama Ismail Ibrahim dan 14 lagi atas nama Ismail Jusoh yang masing-masing dilahirkan pada tahun 1962 dan 1966 tetapi mengundi di tempat yang berbeza.

Banyak pihak juga menggunakan kemudahan internet untuk mendakwa terdapat pendaftaran bertindan bagi seorang anggota tentera dengan nama Hazely Razin Yaakub yang dilahirkan pada tahun 1975 dengan nombor kad tentera T719756 dan seorang lagi Hazely Razin Yaakub yang didaftarkan dengan nombor kad pengenalan 750909035727 / A3170255.

Menurut Kamaruzaman, kemungkinan beberapa pengundi mempunyai nama serupa sebenarnya bukan satu isu, tetapi ia telah diputar belitkan oleh golongan tertentu untuk memfitnah SPR.

- http://www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment