Kontroversi pelantikan MB Perlis - Md. Isa diperkenan istana, Shahidan terima watikah PM
PUTRAJAYA 14 Mac – Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menemui semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perlis dalam waktu terdekat ini bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar negeri itu.
Shahidan yang ditemui selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Abdullah di Seri Perdana di sini petang ini berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan membuat penjelasan berhubung watikah pelantikan Menteri Besar Perlis yang sebelum ini telah diserahkan kepadanya.
‘‘Pada pertemuan hari ini, Pak Lah menyatakan beliau tetap dengan keputusannya mengeluarkan watikah pelantikan (Menteri Besar Perlis) kepada saya.
‘‘Pak Lah akan hubungi semua wakil (rakyat) BN (Perlis) sebab kebanyakan mereka tidak tahu saya telah menerima watikah pelantikan itu.
‘‘Selepas ini, tiada majlis (angkat sumpah) akan dibuat selagi wakil rakyat BN tidak ditemui Pak Lah. Benda ini tidak sepatutnya berlaku sebab rakyat sudah beri mandat kepada saya,” katanya.
Pertemuan Shahidan dengan Abdullah hari ini diadakan selepas Raja Perlis berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong, Datuk Dr. Md. Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis yang baru.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan Setiausaha Sulit baginda, Mohd. Adib Zakaria.
Terdahulu, ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini, Shahidan yang menjadi Menteri Besar Perlis sejak 1995 berkata, beliau tidak menolak kemungkinan menjadi pembangkang kepada kerajaan negeri yang diterajui Md. Isa.
Beliau mendakwa, pelantikan Md. Isa tidak mendapat pengiktirafan kerajaan BN yang diterajui Abdullah.
‘‘Saya mendapat mandat daripada Pengerusi BN supaya mengetuai kerajaan Perlis.
‘‘Jadi siapa angkat sumpah (selain daripada saya), dia dianggap bukan (dapat sokongan) BN. Jadi saya akan jadi pembangkanglah,” katanya.
Shahidan turut mengingatkan semua pihak bahawa beliau mempunyai tempoh selama 120 hari untuk ‘berbuat sesuatu’.
Menurut beliau, surat watikah daripada Abdullah telah diterimanya Selasa lalu bagi meminta Raja Perlis melantiknya sebagai Menteri Besar di negeri itu.
‘‘Tapi kalau Raja Perlis tidak mahu melantik sebab ada undang-undang yang mengatakan Tuanku boleh melantik (calon) yang boleh memberi keyakinan kepada Dewan Undangan Negeri, itu hak Tuankulah.
‘‘Hak rakyat yang pilih BN, kita akan cari tengok macam mana. Sebab rakyat pilih BN, dia bukan pilih individu. Oleh kerana rakyat pilih BN, maka BNlah yang akan memerintah.
‘‘Kalau orang lain daripada saya (dilantik) dan sekiranya dia pergi juga (angkat sumpah), maka dia dianggap pembangkanglah,” katanya.
Mengulas mengenai status Mat Isa yang juga merupakan wakil rakyat BN, beliau berkata:
‘‘Selepas petang ini dia sudah tidak jadi BN, tidak menyokong saya, tidak menyokong Perdana Menteri. (Wakil rakyat) BN apa kalau tidak menyokong Perdana Menteri? Itu pembangkang,” tegasnya.
Ditanya apakah punca kepada segala kemelut itu, Shahidan tidak menafikan ia datang daripada pemimpin UMNO sendiri.
‘‘Saya tidak tahu. Saya tidak mahu cakap lagi. Bagilah saya peluang. Bagilah peluang terbaik. Nanti tuan-tuan dan puan-puan akan mengeruhkan lagi suasana. Sekarang suasana sudah keruh betul. Sebab ada dalang-dalang yang busuk hati,” katanya.
- http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment