13 March 2008

Raja Nazrin Bertegas, Angkat Sumpah Dibatal Saat Akhir

KeADILan terima lantikan Nizar, Soalkan Peruntukan Kerusi Exco

Kuala Lumpur, 12 Mac - Parti Keadilan Rakyat menerima keputusan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari PAS, Sdr. Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Demikian pendirian KeADILan yang diumumkan oleh Timbalan Presiden KeADILan, Dr. Syed Husin Ali.

“Walaupun pada peringkat awal kami dengan tegas menekankan keperluan memilih seorang yang dapat diterima dengan baik oleh majoriti, kami kini menerima keputusan tersebut demi mempertahan semangat kerjasama antara KeADILan, PAS serta DAP dan juga untuk menjamin kestabilan serta perpaduan negeri Perak khususnya, dan negara Malaysia umumnya” kata beliau.

Namun, Dr. Syed berkata bahawa KeADILan tidak bersetuju dengan persetujuan yang telah dibuat oleh PAS dengan DAP tentang komposisi Exco Negeri Perak di mana lapan kerusi Exco diperuntukkan untuk DAP dan dua selainnya untuk parti lain.

“Kami dengan ikhlas menegaskan bahawa komposisi Exco ini sepatutnya mencerminkan komposisi bilangan penduduk dan mewakili kepentingan semua kaum dengan saksama. Semua parti hendaklah peka kepada harapan serta sentimen rakyat” kata Dr. Syed.

“Kami meminta komposisi ini dibincang semula dan sekiranya tidak diubah dengan memuaskan bagi semua pihak, KeADILan tidak akan menyertai pentadbiran negeri Perak.”

Walaubagaimanapun, Dr. Syed tegaskan bahawa KeADILan tidak akan meninggalkan kerajaan campuran mana-mana negeri.

“Kami akan terus mendukung kerajaan campuran untuk negeri Perak sebagaimana yang telah kami setujui lebih awal” jelas Dr. Syed.

- http://www.suarakeadilan.com


Majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak ditangguhkan atas sebab teknikal

IPOH 14 Mac (Hrkh) - Majlis angkat sumpah Menteri Besar yang ke-10 yang dijadualkan jam 4.00 petang tadi ditangguhkan sementara atas sebab-sebab taknikal.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di pejabat PAS Negeri hari ini.

Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengangkat sumpah pada hari ini jam 4.00 petang di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

"Saya menyeru rakyat Perak bersabar dalam menghadapi situasi ini, kemenangan yang kali pertama dicapai sudah tentu banyak ujiannya, barangkali ada hikmah disebalik itu," ujar beliau.

Sementara itu PAS Perak berbesar hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh DAP Pusat yang menarik balik pemulauan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak pada hari ini.

PAS Perak juga berbesar hati kerana DAP turut membuat permohonan maaf kepada Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah serta menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang baru.

- http://www.harakahdaily.net


Angkat sumpah MB Perak batal: KeADILan pula buat hal?

KUALA KANGSAR, 13 Mac (Hrkh) - Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam satu laporan akhbar online mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

KeADILan salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, KeADILan 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, KeADILan 7 dan PAS 6.

"Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil KeADILan kerana ketika itu KeADILan tidak terlibat membantah," kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun KeADILan di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana KeADILan seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima.

- HarakahDaily


Wakil rakyat DAP, Pas, PKR Perak diarah tandatangan persetujuan

IPOH 13 Mac – Kesemua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas Perak, hari ini diminta menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima pelantikan ADUN Pasir Panjang, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah demikian kepada wakil tiga parti berkenaan yang menghadap baginda di Istana Kinta di sini pada pukul 2.30 petang tadi.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas penangguhan istiadat mengangkat sumpah Moham mad Nizar, 51, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, sebagai Menteri Besar Perak ke-10 yang dijadualkan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 4 petang tadi.

Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman sebelum istiadat bermula di Istana Iskandariah. – Bernama


Angkat sumpah MB Perak ditangguh

Upacara mengangkat sumpah menteri besar bagi kerajaan campuran pembangkang di Perak telah dibatalkan.

Majlis tersebut dijadual diadakan pada jam 4 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.

Tiga calon jawatan menteri besar telah mengadakan perjumpaan dengan pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh petang tadi.

Manakala upacara angkat sumpah dijadual pada jam 4 petang di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Mahu jumpa semua Adun

Mesyuarat itu bermula jam 2.30 petang hingga 4.05 petang.

Sementara itu, difahamkan dalam perjumpaan dengan Raja Dr Nazrin Shah, wakil PKR, Jamaluddin Mohd Radzi, bagi pihak partinya, dikatakan telah mempertikaikan pemilihan Nizar sebagai menteri besar.

Ekoran itu, Malaysiakini difahamkan, Raja Dr Nazrin Shah telah mengarahkan mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu pemilihan calon menteri besar itu, dan membatalkan upacara angkat sumpah hari ini.

Raja Dr Nazrin juga difahamkan mahu menemui kesemua 31 Adun dari DAP, PAS dan PKR untuk mendengar sendiri pendirian mereka masing-masing mengenai calon menteri besar.

Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor itu menyatakan Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya majlis angkat sumpah hari ini ditangguhkan.

Perkembangan terkini

"Berdasarkan perkembangan terkini, bahawa kelihatan DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam hasrat menubuhkan kerajaan yang stabil bagi negeri Perak Darul Ridzwan.

"Oleh itu Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertitah supaya angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan,".

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan bila istiadat itu akan dilangsungkan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS Perak hari ini diminta menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima
pelantikan Nizar sebagai menteri besar.

Katanya, Raja Dr Nazrin bertitah demikian kepada wakil tiga parti berkenaan yang menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh pada 2.30 petang tadi.

Menurut Nga, surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Semalam kerajaan campuran DAP-PKR-PAS di Perak bersetuju untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang baru.

Nizar juga merupakan setiausaha PAS Perak.

Salah faham selesai

Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Ngeh Khoo Ham dan seorang wakil kaum India akan dilantik sebagai timbalan menteri besar satu dan dua.

Bagaimanapun, semalam DAP membantah pemilihan Nizar sebagai menteri besar apabila pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berkata pihaknya hanya bersetuju calon DAP atau PKR dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, perkara itu nampaknya telah dapat diselesaikan dan Lim juga telah memohon maaf kepada Raja dan pemangku Raja Perak. Ngeh juga memberitahu pagi ini bahawa salahfaham itu telah diselesaikan.

Bagaimanapun, PKR pula membuat kenyataan mengejutkan bahawa parti itu akan keluar daripada kerajaan campuran di Perak jika agihan ahli exco tidak dibuat secara adil.

Difahamkan lapan daripada 10 jawatan exco diambil oleh DAP manakala baki dua kerusi diagih antara PAS dan PKR.

Pada awalnya, difahamkan, persetujuan telah dicapai di mana DAP mendapat enam jawatan exco dan masing-masing dua jawatan exco untuk PKR dan PAS.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment