06 March 2008

Pulau Pinang semakin panas – Tsu Koon

PULAU PINANG 5 Mac – Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyifatkan suasana kempen pilihan raya di negeri ini kini semakin panas berikutan tindakan pembangkang memutarbelitkan pelbagai fakta.

Beliau yang juga Pemangku Presiden Gerakan tanpa berselindung mengakui, antara isu yang diputarbelitkan oleh pembangkang ialah perbandingan harga minyak antara Singapura dengan Pulau Pinang.

Katanya, pembangkang juga mendakwa kononnya UMNO mencampuri urusan pelantikan Ketua Menteri dan memberikan gambaran palsu mengenai penarikan keluar pelaburan syarikat-syarikat besar dari negeri ini.

“Pembangkang terutama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim asyik bercakap mengenai harga minyak dan mendakwa beliau berjaya mengawal harga minyak dengan baik ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Hakikatnya selepas beliau berhenti, sejak sembilan tahun lalu harga minyak di Malaysia hanya naik 75 peratus sedangkan harga minyak di pasaran dunia melonjak sehingga 770 peratus dalam tempoh yang sama.

“Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mengawal dengan baik harga minyak,” kata Tsu Koon pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Negeri di Jalan Macalister di sini hari ini.

Katanya: “Suasana kempen di negeri ini bertambah panas dan sengit kerana fakta-fakta yang diputarbelitkan itu.

“Kita tidak nafikan peluang BN di sesetengah kawasan adalah 50-50 namun kita tidak pernah mengambil mudah, begitu juga dengan kewujudan antara 10 hingga 25 peratus pengundi senyap.”

Justeru, Tsu Koon meminta jentera BN bekerja lebih kuat bagi memastikan pembohongan pembangkang itu diketahui rakyat selain memikat golongan pengundi atas pagar supaya menyokong BN.

Dalam isu pelantikan Ketua Menteri, katanya, DAP cuba mempengaruhi pengundi dengan mendakwa parti itu akan menyokong Gerakan untuk memastikan UMNO tidak merampas jawatan berkenaan selepas pilihan raya 8 Mac ini.

Sedangkan pelantikan Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri, ujar Tsu Koon, dilakukan selepas semua parti komponen BN mengemukakan cadangan masing-masing.

“Selepas melanyak, menumbuk, menendang dan mematahkan kaki kita dalam ceramahnya, DAP bercakap ingin membantu Gerakan. Dari segi moral, ini semua adalah tidak betul,” katanya.

Mengulas cadangan Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik supaya pelantikan bakal Ketua Menteri Pulau Pinang dilakukan berdasarkan kepada calon menang yang mendapat majoriti tertinggi dalam pilihan raya, beliau berkata:

“Saya mengambil kira nasihat tersebut namun ia tidak boleh dijadikan asas dalam pemilihan Ketua Menteri kerana tindakan itu adalah tidak adil kepada calon-calon tersebut.

‘‘Ada sesetengah kawasan begitu mencabar dan ada kawasan yang mempunyai trend pengundi yang berbeza berdasarkan kumpulan etnik, jadi apa yang penting ialah mendapatkan kemenangan terlebih dahulu.”

Mengenai tarikh pengumuman nama bakal Ketua Menteri, Tsu Koon memberitahu, berdasarkan pengalaman lalu, pengumuman tersebut akan dilakukan selepas dua tiga hari keputusan pilihan raya.

Menurutnya, dari segi ceramah, pembangkang memang berjaya menarik kehadiran pendengar yang ramai, tetapi ia tidak semestinya menunjukkan corak undian sebenar pengundi di Pulau Pinang.

Tsu Koon yang bertanding di kawasan Parlimen Batu Kawan juga memohon maaf kepada pengundi di kawasannya kerana tidak sempat untuk bersua muka dengan kesemua pengundi dalam keadaan tempoh kempen yang singkat.

Parlimen Batu Kawan di Seberang Prai merupakan sebuah kawasan yang agak besar dengan jumlah pengundi seramai 47,378 orang.

- http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment