Tepat jam 2.20 pagi Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembentukan kerajaan Persekutuan apabila Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen. Abdullah mengumumkan keputusan itu pada satu sidang media ringkas di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada hari Isnin bagi tujuan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Ditanya mengenai adakah keputusan yang dicapai oleh BN itu memberi tekanan kepada beliau, Perdana Menteri hanya berkata, "tidak tahulah siapa yang menekan saya".
Menjawab soalan mengenai kekalahan beberapa pemimpin parti komponen, Abdullah hanya berkata, " dah kalah kalahlah".
Seterusnya Abdullah menjelaskan beliau hanya akan membuat kenyataan lanjut selepas mengetahui keputusan penuh pilihan raya.
Terdahulu, jam 12.30 malam, PAS kekal berkuasa di Kelantan. Manakala empat negeri lainnya, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah menyaksikan BN tidak boleh membentuk kerajaan kerana tidak mendapat majoriti mudah.
Manakala di Wilayah Persekutuan pula, 11 kerusi Parlimen dikatakan jatuh ke tangan pembangkang. Tiga kerusi di Wilayah yang kekal di tangan Barisan Nasional (BN) ialah Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa. Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil yang bertanding di Lembah Pantai dilaporkan tewas kepada Nurul Izzah, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sehingga berita ini ditulis, bagi kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) memenangi 137 kerusi, PKR 31 kerusi, PAS 23 dan DAP 28 kerusi.
Terdahulu, Abdullah dalam satu kenyataan ringkasnya, meminta rakyat negara ini bertenang dengan perkembangan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang memberi tamparan hebat kepada BN. Menurut beliau, kekalahan BN di beberapa negeri membuktikan proses demokrasi di negara ini berjalan lancar.
- http://www.agendadaily.com
No comments:
Post a Comment