09 March 2008

BN kuasai kerajaan Perlis

KANGAR: Barisan Nasional (BN) menguasai semula kerajaan Perlis, selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala satu lagi kerusi dimenangi Pas.

BN turut memenangi semua tiga kerusi Parlimen yang ditandingi, iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Kerusi DUN dimenangi Pas ialah Simpang Empat di bawah Parlimen Arau. apabila penyandang daripada BN, Zahari Bakar tewas di tangan calon Pas, Rus'sele Eizan dengan majoriti 78 undi.

Bagaimanapun, BN dapat merampas semula Sanglang yang menjadi kubu kuat Pas sejak 1999 dengan majoriti 149 undi..

BN juga menguasai kerusi Parlimen Arau yang dimenangi adik Menteri Besar Perlis, Datuk Ismail Kassim, menewaskan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengekalkan penguasaannya di DUN Tambun Tulang. Beliau menang dengan majoriti 2,010 undi menewaskan calon Pas, Che Nordin Che Ahmad.

Seorang lagi calon yang menjadi tumpuan di Arau, Datuk Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail, yang juga bekas Ahli Parlimen Arau yang berpindah ke DUN Pauh, menewaskan calon Pas, Ahmad Adenan Fadhil.

BN diisytihar mencatat kemenangan melebihi majoriti dua pertiga dan sekali lagi diberi mandat membentuk kerajaan baru selepas memenangi kerusi DUN ke-10, tepat jam 11.35 malam tadi.

Semua keputusan diumumkan di tiga pusat penjumlahan undi ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri iaitu di Dewan Utama Maktab Rendah Sains Mara di Beseri bagi Parlimen Padang Besar; Kompleks Warisan Negeri bagi Kangar dan Dewan Sivik di Arau.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, ketika diminta mengulas mengenai kejayaan BN Perlis, berkata beliau bersyukur kerana Allah masih mengizinkan BN kekal di Perlis.

Beliau berkata, kepercayaan diberikan rakyat akan digunakan BN sebaik mungkin untuk membangunkan negeri dan fokus utama akan diberikan kepada pembinaan insan.

“Apa pun, di sebalik kemenangan ini, saya risau memikirkan soal negara keseluruhan dan tentang apa yang berlaku di seluruh negara selepas pilihan raya ini.

“Sekarang, kami perlu berusaha dan berganding bahu untuk membangunkan Perlis,” katanya.

Di Parlimen Kangar, semua calon BN termasuk Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, menyapu bersih kerusi Parlimen dan DUN di kawasan berkenaan. Radzi menang dengan majoriti 13,671 undi menewaskan calon Pas, Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail.

Kejayaan sama turut dilakar di Padang Besar, apabila semua kerusi DUN dan Parlimen di bawahnya disapu bersih BN.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid mencatat kemenangan menewaskan calon Pas, Zolkharnain Abidin. Azmi menang dengan majoriti 5,348 undi.

- http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment