13 March 2008

PAS Direstui, Jangan Sanggah Sultan Perak

Mohamad Nizar diperkenan jadi Menteri Besar baru Perak

IPOH, 12 Mac (Hrkh) - Desas-desus siapa yang akan menjadi Menteri Besar Perak yang baru terjawab apabila Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, yang juga Adun Pasir Panjang, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diperkenankan dan disahkan memegang jawatan yang menjadi tumpuan awam itu.

Jam 5.00 petang tadi, ketiga-tiga calon dari ketiga-tiga parti alternatif, Ngeh Hoo Ham (DAP) dan Mohd Radzi (KeADILan) serta Nizar (PAS) telah menghadap Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta, dekat sini.

Hasil pertemuan itu Raja Nazrin, yang mewakili Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah memperkenankan Mohammad Nizar sebagai Mentei Besar Perak yang baru.

Majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan pada esok pagi, Khamis, di Istana Iskandariah Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

- http://www.harakahdaily.net

Sah: wakil PAS jadi MB Perak

Wakil rakyat PAS Mohamad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas gabungan DAP-PAS-PKR berjaya menawan Perak.

Mohamad Nizar, seorang jurutera, menang di kerusi Pasir Panjang dengan majoriti 4,474 undi. Malaysiakini

Sementara dua timbalannya diberikan kepada wakil rakyat bukan Melayu, seorang pemimpin DAP dan seorang lagi, belum dipastikan, seorang wakil rakyat keturunan India.

Pengerusi DAP Perak, yang juga wakil Setiawan, Ngeh Koo Ham dilantik timbalan menteri besar I.

Jawatan timbalan kedua untuk mengendalikan masyarakat India belum diputuskan.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN, pembangkang merebut 31 kerusi dengan meninggalkan BN 28 kerusi sahaja.

DAP menang di 18 kerusi, PKR (tujuh) dan PAS (enam). Malaysiakini

Upacara mengangkat sumpah akan berlangsung di Istana Iskandar, Kuala Kangsar pada jam 4 petang esok.

Mohamad Nizar berkata perkenan Sultan sudah dimaklumkan kepadanya oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah yang menerima rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu mengadap di Istana Kinta jam 5 petang ini. Malaysiakini

Selain Nizar dan Ngeh, bendahari PKR Perak Jamaluddin Mohd Radzi yang turut dicalonkan untuk jawatan menteri besar diperkenan menghadap Raja Nazrin.

Senarai tiga nama itu dikemukakan selepas tiga parti tersebut mendapat perkenan baginda untuk membentuk kerajaan campuran.

Bercakap kepada pemberita di perkarangan Istana Kinta, Nizar berkata kedua-dua jawatan timbalan itu diwujudkan bagi mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum di negeri ini khususnya Cina dan India.

- http://malaysiakini.com

Calon Pas, Ir. Mohammad Nizar sah MB Perak

IPOH 12 Mac — Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini memperkenankan pelantikan Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, sebagai Menteri Besar Perak ke-10.

Beliau bakal mengetuai kerajaan campuran yang akan dibentuk oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam pilihan raya umum Sabtu lepas.

Majlis angkat sumpah jawatan akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 4 petang esok.

Nizar, Ahli DUN (ADUN) Pasir Panjang berkata, perkenan Sultan itu dimaklumkan kepada beliau oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menerima rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu menghadap di Istana Kinta di sini pukul 5 petang ini.

Pas, DAP dan PKR semalam mengemukakan tiga nama - Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, 47; Bendahari PKR Perak, Jamaluddin Mohd Radzi, 52; dan Nizar, untuk dipilih oleh Sultan bagi jawatan itu dan seterusnya mengetuai kerajaan negeri yang baru.

Senarai nama berkenaan dikemukakan selepas ketiga-tiga parti itu mendapat perkenan baginda untuk membentuk kerajaan campuran.- BERNAMA.

Mohammad Nizar mohon semua pihak hormati keputusan Sultan Perak

IPOH, 12 Mac (Hrkh) - Bakal Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meminta semua pihak menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung perlantikan ketua kerajaan negeri berkenaan.

"Ketiga-tiga parti, DAP, KeADILan dan PAS telah menamakan calon-calon masing-masing untuk jawatan calon Menteri Besar. Tuanku telah meneliti senarai nama calon yang dihantar, dan hari ini Tuanku telah memberi perkenan untuk melantik saya sebagai Menteri Besar. Oleh itu, setiap kaum perlu menghormati keputusan dari istana," ujar beliau.

Menurut Mohammad Nizar, pimpinan ketiga-tiga parti alternatif telah berjanji untuk akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak. Dengan itu, tambahnya, mana-mana pihak tidak perlu meragui keputusan tersebut.

"Saya minta rakyat bertenang dan tidak terpengaruh dengan sistem pesanan ringkas (SMS) sejak dua tiga hari kebelakangan ini. Kita minta rakyat negeri ini menerima peralihan kuasa dengan baik dan tidak cuba mencetuskan perkara-perkara yang boleh memburukkan suasana," ujar beliau.

Sebelum ini ketiga-tiga parti telah mengemukakan nama seorang calon dari parti masing masing untuk diserahkan kepada Sultan Perak. DAP menamakan Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Ngeh Hoo Ham, manakala KeADILan pula menamakan Adun Behrang yang juga Bendahari KeADILan Negeri, Jamaluddin Mohd Radzi.

Pada petang tadi jam 5.00 petang ketiga-tiga calon Menteri Besar itu telah menghadap Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui pemangkunya telah memperkenaankan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang baru dan majlis angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar jam 4.00 petang esok.

Beliau berjanji kerajaan baru yang dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Sehubungan dengan itu beliau bercadang untuk melantik dua orang Timbalan Menteri Besar dari kaum Cina dan India.

"Saya akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak mengenai perkara tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Mohammad Nizar yang menang kerusi Dun Pasir Panjang pada pilihan raya Sabtu lepas merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak itu menyertai parti tersebut pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau dan isteri Fatimah Taat, mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan.

Sepanjang berkecimpung dalam politik bersama PAS, beliau telah memegang beberapa jawatan iaitu Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar.

Menteri Besar Perak yang baru ini memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Anglo-Chinese School(ACS) Kampar sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Anglo-Chinese School Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh dan menyambung pengajian peringkat A-Level dan ijazah di England.

Beliau memulakan kerjayanya di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum berkhidmat sebagai jurutera di Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang PDC).

Anak sulung dan kedua beliau merupakan penuntut lulusan BA Syariah Universiti Mu'tah di Jordan manakala dua lagi anaknya merupakan Hafiz Quran yang menuntut di Lubnan dan Syria.

- http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment